Kenaikan harga minyak sawit pada masa ini diharap dikekalkan atau terus dinaikkan untuk kepentingan pekebun tanaman berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan.
Menurutnya, perkembangan terbaru berhubung harga komoditi tersebut memberi impak positif bagi mengurangkan beban pekebun sawit sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.
Beliau berkata, perkara tersebut adalah hasil kerajaan hari ini yang berusaha memasarkan jualan hasil sawit selain amalan ketelusan daripada semua pihak.
“Kita kena buat tindakan yang berani dengan menyatakan bahawa kenaikan harga yang munasabah ini diharapkan dapat berterusan dan kalau ia naik lebih tinggi, itu lebih baik.
“Kalau dapat dikekalkan kepada harga RM500 pertan atau RM450 pertan itu pun sudah cukup baik untuk masa depan pekebun menyara hidup mereka,” lapor Johorkini.
Minggu lalu, harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun susulan sentimen positif pelabur terhadap komoditi utama itu serta kebimbangan mengenai kekurangan bekalan.
RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, aliran meningkat harga minyak sawit akan berterusan dan penurunan pada hari sebelumnya adalah faktro sementara iaitu susulan kegiatan pengambilan untung oleh sebilangan pelabur.
Merugikan pekebun
Aminolhuda yang juga Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi berkata, langkah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) melaksanakan sistem bagi mendapatkan hasil dalam jarak sekitar 100 kilometer radius adalah tindakan yang baik.
Ini kerana katanya, terdapat ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang tidak menghantar hasil sawit mereka ke PPNJ dan tindakan itu merugikan pekebun atau ahli Pertubuhan Peladang sendiri.
“Kita mahu memastikan keuntungan proses dari hasil sawit tersebut dan juga dividen dari keuntungan hasil tersebut dapat dikembalikan kepada ahli Pertubuhan Peladang.
“Hari ini, kita dapat melihat harga sawit ini amat baik dan apabila harga ini baik secara tidak langsung harga daripada hasil pekebun-pekebun kecil akan meningkat, bukan sahaja meningkat dari segi harga malah dividen tersebut akan diagihkan kepada ahli di peringkat bawah.
“Saya mahu melihat pekerja-pekerja kebun mereka mendapat hasil setimpal dengan kenaikan harga sawit ini.
“Sebab, kita tahu bahawa ada orang mempertikaikan perkara berkenaan pendapatan pekerja kebun, maka fokus saya adalah berkenaan kebajikan mereka.
“Fokus kebajikan amat penting bagi kerajaan untuk bantu pekebun-pekebun ini berbelanja dengan baik serta meningkatkan taraf ekonomi mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Aminolhuda lagi, melalui perbincangannya dengan PPNJ, agensi itu memberi komitmen untuk mengambil tindakan susulan dengan melawat pusat pengumpulan dan pembelian sawit di seluruh PPK di Johor.