Kenaikan kos sara hidup: Menekan ibu tunggal sebagai ketua keluarga

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

 

Beliau amat ceria berkongsi cerita sambil sesekali tertawa tetapi ramai yang tidak sedar bertapa beratnya tanggungan ibu tunggal ini ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta bertambah lagi dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas mereka.

Dengan menggunakan kereta Kancilnya, beliau mengambil upah daripada jiran yang memerlukan khidmatnya termasuk menghantar mereka membeli barangan di pasar.

Namun Nor Ajua Mohd Jani, 38, tetap tabah menjalani kehidupan seharian memandangkan dirinya adalah ketua isi rumah dalam keluarga tujuh orang ini.

“Asalkan ada orang minta saya hantarkan pergi ke mana-mana atau pun ada jiran yang perlu berurusan di Kuala Kubu Bharu, saya boleh saja hantarkan,” cerita Nor Ajua kepada Malaysia Dateline ketika ditemui di Taman Seroja, Bukit Sentosa, Hulu Selangor kelmarin.

Bersama kereta Kancil miliknya yang sudah berusia lebih 10 tahun itu, Ajua keluar mencari rezeki hampir setiap hari. Beliau setakat ini belum bersedia untuk berkerja dengan pendapatan tetap memandangkan keadaan kesihatan nenek saudaranya yang beliau panggil ’emak’ yang tidak mengizinkan.

Nor Ajua Mohd Jani“Siapa nak jaga emak kalau saya keluar bekerja makan gaji dari pagi sampai petang? Anak-anak dan anak saudara pula tahun depan semua sekolah (sesi) pagi,” kata beliau yang memanggil Jariah Mohd Halil, 81, sebagai emak.

Selain tiga anaknya, Ajua turut menanggung dua lagi anak saudara yang masing-masing bakal melangkah ke Tingkatan 4 tahun depan dan seorang lagi masih menuntut di peringkat diploma.

Menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sejak dua tahun lalu, Ajua yang juga mesra dikenali sebagai Lin bagaimanapun bimbang dengan trend harga barangan dan makanan yang semakin melambung tinggi.

Situasi makin dirumitkan lagi, jelasnya, dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai April lalu selain keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak.

“Sekarang, harga barangan dan makanan semakin mahal. Mujur kalau ada arahan bertugas daripada Rela, ada jugalah rezeki. Elaun yang diberi terus selepas bertugas itu dapatlah sekurang-kurangnya menampung belanja keperluan harian,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut tentang Jariah yang dijaganya, Lin memberitahu beliau mengambil tanggungjawab untuk berbuat demikian memandangkan anak lelaki Jariah yang memeliharanya sebelum ini sudah meninggal dunia.

“Dua anak lelakinya pula berpendapatan rendah dan masing-masing ada kehidupan berkeluarga. Jadi, sejak empat tahun lalu saya menjaga emak yang sebenarnya sudah 13 tahun uzur dan hanya mampu mengengsot saja,” jelasnya.

Rayu permudahkan prosedur

Memandangkan Jariah terlalu uzur untuk berdiri kesan daripada penyakit strok yang pernah dialaminya, warga emas berasal dari Bagan Datoh, Perak itu perlu dipakaikan lampin pakai buang.

“Kos belanja untuk pampers mak saja dekat RM300 sebulan. Hari-hari mak makan oat campur Nestum dengan seketul daging ayam. Untuk dapatkan tenaga mak minum air 100 plus. Ikan dan sotong mak tak mahu. Jadi, dengan wang yang ada kami berdikit-dikit dalam berbelanja,” ujar Lin.

Pernah memohon bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi pihak Jariah, namun syarat untuk mendapatkan pengesahan doktor berkenaan pemeriksaan kesihatan sulit untuk dipenuhi.

“Lama dah dulu bila bawa mak ke hospital, doktor kata mak ada strok tapi kencing manis, darah tinggi tiada. Kaki mak sudah tak boleh lurus. Dua kali kena serangan strok. Kali terakhir kena strok sebelum saya jaga, lebih empat tahun lepas.

“Mak mana mahu ke hospital. Kita pujuk pun tak mahu. Mak takut kena tahan (wad). Sekarang pula kalau sebut klinik pun, mak tak mahu pergi. Minta bantuan Baitulmal pun sama (tidak dapat), kena dapatkan dulu pengesahan doktor,” katanya yang juga memberitahu tidak memperoleh sebarang bantuan daripada kerajaan negeri.

Turut mengisi maklumat dalam program e-kasih dengan mengambil sendiri borang bagi pangkalan data kemiskinan nasional itu di Pejabat Pembangunan Negeri Daerah Gombak dan Hulu Selangor di Rawang tetapi tiada tindakan selanjutnya daripada pihak di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri berkenaan.

Dalam masa sama, ujarnya, beberapa kumpulan yang mendakwa NGO sejak beberapa tahun lalu pernah menemui mereka sekeluarga kononnya bagi menyalurkan bantuan tetapi berlalu begitu tanpa sumbangan yang dijanjikan.

“Pernah juga ada satu NGO minta sampai RM20 untuk proses borang daftar bantuan tetapi lepas kami dapat bantuan pertama, NGO itu dengan bantuan seterusnya yang dijanjikan hilang.

“Ada juga orang beritahu yang YB Kamalanathan (Ahli Parlimen Hulu Selangor) mahu datang beri sumbangan. Kita pun bersiaplah tapi menghampakan sebab dia tidak juga datang,” katanya.

Sehubungan itu, Ajua memohon jabatan kerajaan terlibat serta pihak Baitulmal supaya dapat memudahkan prosedur permohonan bantuan kepada golongan warga emas apa lagi yang tidak berupaya dan uzur seperti di bawah tanggungannya pada masa ini.

“Setakat ini untuk bantuan kewangan kepada mak, daripada JKM tiada, Pusat Zakat dan kerajaan negeri pun tiada. Saya dapat bantuan zakat tapi jumlahnya rendah pula daripada ibu yang masih ada suami walaupun lima tanggungan saya masih belajar,” ujar Ajua lagi sambil merenung Jariah.

Sehubungan itu, bantuan orang ramai dialu-alukan bagi meringankan beban Ajua sekeluarga menjelang tahun baharu 2016 ini, dengan menyalurkan sumbangan tunai melalui nombor akaun 1620 1300 6725 (Maybank).

TAGS