Malaysia Dateline

Kenaikan mendadak harga bekalan makanan adalah krisis nasional

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa trend kenaikan mendadak harga bekalan makanan pada masa ini sebagai ‘krisis nasional’.

Beliau berkata demikian selepas bangun mencelah ketika Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selesai menjawab persoalan dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

“Ini kecemasan. Rakyat semua tunggu kita (mahu buat apa), bukan sekadar mahu dengar perancangan sahaja. Kita mahu ini diselesaikan. Sekarang mesti ada satu langkah tindakan segera.

“Speaker kena beri kelonggaran ini (untuk Ahli Parlimen berbahas), kita bukan mahu tahu apa langkah, bukan sahaja yang dibuat oleh kementerian terbabit, tetapi kerajaan hari ini,” tegasnya.

Penegasan Anwar itu sekali gus menghangatkan sesi Dewan Rakyat pagi tadi apabila Ahli Parlimen pembangkang menuntut kerajaan mengambil tindakan serta-merta dalam usaha mengawal kenaikan harga makanan, khususnya sayur-sayuran dan ayam pada masa ini.

Sebelum itu, Alexander memberi amaran, tindakan akan diambil oleh agensi penguatkuasa KPDNHEP terhadap mana-mana pihak yang sengaja menaikkan harga jualannya.

Namun, jawapan Alexander itu mengundang rasa kurang senang Guan Eng, yang menyifatkan kenyataan itu sebagai langkah tidak adil kementerian khususnya kepada peniaga, yang turut terbeban dengan kenaikan kos dari perolehan bekalan perniagaannya.

“Sekarang jangan hanya salahkan peniaga kerana mereka adalah mangsa juga. Saya rasa kalau pendekatan ini (digunakan) untuk peniaga, itu salah, 100 kali salah.

“Saya harap perlunya ada dana khusus untuk perbanyakkan pembekalan supaya kita dapat bantu petani, peladang dan peniaga, supaya mereka dapat kurangkan kos logistik, itulah puncanya (naik harga),” tegas Guan Eng.