Kenaikan SST beri impak besar, prestasi KDNK Malaysia dijangka melonjak pada 2024?

Oleh WAN SITI AMINAH

Ekonomi Malaysia diramalkan bertambah baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2024.

Perkara tersebut dikongsi menerusi laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) iaitu sebuah agensi penarafan kredit.

Selari dengan perkembangan itu, kerajaan kini berusaha mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus berbanding lima peratus tahun lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Fahmi selaku jurucakap kerajaan pernah memaklumkan bahawa defisit fiskal pada tahun lalu mencatat penurunan sebanyak lima peratus daripada 5.6 peratus pada 2022.

Terbaharu, Ketua Jabatan Bisnes dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional iaitu Dr. Nor Salwati Othman menyifatkan kenaikan cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu merupakan antara solusi kepada penguncupan defisit fiskal ini.

Hal ini kerana, sektor perkhidmatan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yakni lebih daripada separuh KDNK negara, lapor Malaysia Gazette.

“Semakin tinggi aktiviti sektor ini, semakin tinggi juga kutipan cukai. Seterusnya, kejayaan kerajaan menangani masalah defisit akan meningkatkan kredibiliti dan meningkatkan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara.

“Selain itu, kenaikan SST juga menghalang penggunaan perkhidmatan yang tidak atau kurang penting seperti kelab malam, dewan tari menari, rumah awam, kelab persendirian, padang golf, pertaruhan dan perjudian,” katanya.

Terdahulu pada pembentangan belanjawan 2024 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar cukai SST kepada 8% daripada 6% yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 ini.

Kenaikan tersebut bagaimananapun tidak melibatkan perkhidmatan untuk makanan, minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik yang disifatkan satu keperluan bagi penduduk di Malaysia.

Mengulas lanjut, Nor Salwani mencadangkan kerajaan untuk memantau dengan baik perlaksanaan kenaikan SST supaya perlaksanaannya selari dengan apa yang dibentangkan di atas kertas.

Hal ini termasuklah perkara yang melibatkan isu ketelusan maklumat terutamanya berhubung penyelewengan, kurang pematuhan, cukai ke atas cukai, dan lain-lain.

Tambah Nor Salwani, kerajaan juga perlu melihat kembali kesesuaian pengecualian kenaikan cukai SST ke atas perkhidmatan pusat kesihatan bagi menjamin kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.

Baca juga: Syarikat terkemuka Australia mahu teruskan pelaburan RM24.5 bilion di Malaysia – PMX