Kenaikan harga barang keperluan perlu dikaji semula

Kenaikan harga barang keperluan perlu dikaji semula

Jofri JaraieePas Sarawak  menggesa kerajaan mengkaji semula cara-cara terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang keperluan harian agar tidak menyusahkan rakyat.

Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee berkata, sekiranya keadaan semakin gawat pihak kerajaan perlu memberi semula subsidi untuk barang keperluan ini agar ianya tidak membebankan rakyat.

“Kerajaan juga perlu ada harga kawalan dan harga siling untuk mengelak harga barang keperluan naik mendadak sehingga membebankan rakyat.

“Kita mencadangkan agar pihak kerajaan menambahkan lagi bantuan kebajikan kepada semua golongan yang amat memerlukan bantuan kebajikan dan memberi tempat tinggal yang selesa kepada rakyat yang tidak memiliki tempat tinggal.

“Kita harap kenaikkan harga barang keperluan ini dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan agar ianya tidak membeban pengguna dan seterusnya tidak menyusahkan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Berliau berkata, harga diesel naik 5 sen begitu juga harga gula pasir dilaporkan telah naik sebanyak 11 sen bagi setiap kilogram berkuatkuasa serta merta, harga jualan bagi 1 kg gula pasir dari RM2.84 kini meningkat kepada RM2.95 secara senyap naik sebanyak 11 sen.

Kenaikan harga barang keperluan ini secara tidak langsung ujarnya, menjadi beban kepada pengguna terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barang keperluan harian mereka disebabkan kenaikan harga pengangkutan dan juga harga bahan yang memerlukan gula seperti kuih muih, minuman dan sebagainya.

“Bantuan kebajikan sebanyak RM300 sebulan untuk bantuan orang tua sekarang ini sudah tentu tidak mencukupi dalam keadaan kenaikkan harga barang keperluan yang semakin naik mendadak.

“Masih ramai lagi mereka yang dikategori sebagai fakir miskin dan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap terus hidup dalam keadaan daif terutama yang tinggal di pinggir bandar.

“Mereka ini sukar untuk mendapatkan bantuan kebajikan disebabkan mereka ini tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan serta terlalu banyak birokrasi untuk mendapatkan bantuan.

“Begitu juga pihak Baitulmal perlu turun padang melihat sendiri keadaan mereka yang amat memerlukan bantuan sepatutnya mendapat bantuan dengan sewajarnya,” cadangnya.

TAGS