Malaysia Dateline

Kenakan kompaun RM10,000 kepada BN tindakan tidak serius

Mengenakan kompaun RM10,000 kepada Barisan Nasional kerana menganjurkan majlis sosial malam tadi dilihat satu tindakan yang tidak serius.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa boleh sahaja bertindak dengan segera membatalkan perhimpunan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN malam tadi tetapi dibiarkan program berjalan sampai habis.

“Berkumpul beramai-ramai dan buat majlis perlancaran jentera PRN Melaka, kena denda RM10,000.

“Peserta perhimpunan cecah ribuan orang. Tak ada social distancing, tak semak MySejahtera, tak jaga face mask, tak ada usaha nak jaga negara dari Covid.

“Pihak berkuasa boleh sahaja nak batalkan perhimpunan. Tapi majlis sempat buat sampai habis. Siap ada live lagi,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan di mana sikap keadilan yang ditunjukkan serta undang-undang yang sepatutnya dilaksanakan, asalkan berduit.

“Jadi, kalau macam ni gayanya, asal ada duit, buat perhimpunan sampai habis, bayar kompaun. Setiap peserta hulur seringgit, cukup bayar RM10,000.

“Jangan buat-buat puas hati dengan kompaun cukup syarat ni. Kita semua tahu ini tindakan yang tak serius, main-main dan menebalkan ego ahli politik.

“This is too much,” kata beliau.

Malam tadi Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional pada kerana telah melanggar SOP Fasa 4 PPN bagi penganjuran majlis sosial.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya negeri bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Namun, BN dilihat telah menganjurkan pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Melalui siaran secara langsung kelihatan jentera BN telah berkumpul secara beramai-ramai dan dihadiri ahli dan penyokong dari seluruh negara.