Malaysia Dateline

Kenakan tindakan terhadap anggota ATM yang aniaya warga asing

Satu kumpulan peguam mendesak kerajaan untuk mengambil pendirian tegas terhadap seorang anggota tentera yang melanggar undang-undang selepas didakwa mendera warga asing ketika sedang menjalankan tugas.

Penyelaras kumpulan peguam hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, seorang pegawai seharusnya melindungi orang ramai termasuk warga asing dan pelarian, dan mereka perlu melaksanakan tugas dalam batasan undang-undang.

Jelasnya, pihak berwajib perlu sedar bahawa dalam keadaan apa pun mereka tidak boleh mengundang bahaya terhadap fizikal sesiapa pun walaupun mereka melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Amat mengecewakan apabila pemimpin tertinggi dari angkatan tentera memilih untuk meremehkan tuduhan terhadap pegawainya sendiri.

“Mendera bukan sekadar masalah disiplin. Itu adalah jenayah di bawah undang-undang dan seharusnya dihukum. Siasatan jenayah mesti dilakukan terhadap pegawai tersebut.

“Kami terpaksa mengingatkan pihak berwajib bahawa penyebab sebenar peningkatan jangkitan Covid-19 adalah dari syarikat penghasil wang tertentu yang gagal mematuhi undang-undang dengan mengorbankan kesihatan pekerja warga asing.

“Jangan tersalah, pekerja ini lah mangsa dalam situasi ini dan tidak boleh difitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 19 saat yang memaparkan seorang lelaki memakai seluar celoreng ATM didakwa mengarahkan seorang pekerja asing berguling di atas tanah dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Klang, Selangor.

Individu warga asing berkenaan yang dikatakan pekerja kilang di kawasan itu, didakwa diarahkan berbuat demikian setelah melanggar perintah kuarantin yang ditetapkan.

Susulan itu, siasatan kes terhadap anggota tentera berkenaan dilaporkan masih diteruskan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang bagaimanapun menyifatkan anggotanya bertindak ‘sedikit melebihi batas’ dan percaya pegawai tersebut tidak bertindak sesuka hati.

Sementara itu Zaid berkata, tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan pekerja warga asing oleh pihak penguatkuasa semasa PKP bukanlah perkara baru.

Bahkan katanya, kebimbangan yang serupa telah berulang kali ditimbulkan oleh kebanyakan organisasi masyarakat sivil dan juga media antarabangsa.

“Video yang kini sedang tersebar adalah bukti kepada sikap yang memalukan untuk membuktikan bahawa tuduhan itu adalah berasas.

“Walaupun Ketua Jenderal Affendi Buang berpendapat bahawa ini adalah kes terpencil, hakikatnya perkara ini hanya ditangani dengan serius setelah video itu tersebar.

“Tanpa video itu, tuduhan itu pasti akan ditolak tanpa pertimbangan kedua dan tindakan pantas mungkin diambil terhadap mereka yang membangkitkan isu berkenaan kerana merosakkan imej negara dan pihak berkuasa,” katanya lagi.