‘Kenal mereka semua sudah macam anak sendiri’

Salasiah Kamaruddin di perkarangan bangunan pusat tahfiz Kampung Dato’ Keramat.

Tiada lagi senyum simpul mereka di tepi meja jualannya seperti mana petang sebelum ini. Lenyap sudah riuh ketawa mereka bermain di Taman Tasik Datuk Keramat sebaik selepas menunaikan solat Asar.

Lama peniaga makanan ringan, Salasiah Kamaruddin semalam merenung ke arah tingkat tiga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah yang hangus dengan hanya baki jeriji dan rangka katil besi masih dapat jelas dilihat.

“Saya betul-betul terperanjat bila dengar mereka yang saya kenal sudah terkorban. Padahal, dua hari sebelum kebakaran itu, elok saja mereka membeli air milo dan ‘jajan’ yang saya jual,” ujarnya.

Ditemui Malaysia Dateline di Jalan Keramat Ujung menjelang senja itu, Salasiah, 59, tidak menyangka ketenangan beberapa murid tahfiz itu menanti giliran dilayan rupa-rupanya peluang terakhir untuk bertemu mereka.

“Mereka ini setiap petang Rabu dilepaskan main di taman tapi hari itu Selasa pula mereka dibenarkan bermain. Mereka budak baik-baik. Bagus hormat pada kita. Tidak cakap banyak.

“Kalau nak (beli) air, boleh sabar tunggu saya nak ambil duit. Ada yang suka makan sengkuang calit, keropok. Kalau beli roti pula banyak-banyak. ‘Kedai jauh, makcik’, kata mereka. Pukul 6 (petang) lebih, (mereka) baliklah,” ceritanya dalam keadaan sebak.

Ibu kepada empat anak yang tinggal di Kampung Dato’ Keramat lebih 40 tahun itu menganggap kesemua murid pusat tahfiz itu yang ada antaranya adik-beradik tidak ubah seperti anak dan cucunya sendiri.

“Saya kenal muka-muka mereka semua. Sudah macam anak, cucu sendiri. Ustaz-ustaz mereka pun saya kenal sampai mak ayah keluarga mereka pun saya boleh tahu.

“(Antaranya) Harris, Asyraaf dari yang umur enam tahun sampai belasan tahun,” katanya.

Kawasan Taman Tasik Datuk Keramat yang menjadi lokasi murid tahfiz terbabit bermain sehingga sehari sebelum nahas.

Sehubungan itu, Salasiah yang berasal dari Kuala Kangsar menggesa supaya pihak pentadbir pusat tahfiz dan badan berwajib menitikberatkan aspek keselamatan bangunan termasuk memiliki Sijil Kelayakan Menduduki (CF).

“Kita semua kena bagi perhatian buat pusat tahfiz yang sah. Pihak kerajaan kena turun ‘check’. Macam ini (Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah) belum sah lagi. Tiada CF. Baru duduk beberapa bulan saja,” ujarnya.

Nenek kepada enam cucu itu juga berharap pihak berkuasa menyiasat kes kebakaran menjelang Subuh Khamis lalu dan mengheret mereka yang bertanggungjawab demi keadilan buat ‘anak-anak syurga’ terbabit.

“Tengok (rangka besi) katil-katil itu. Tak dapatlah saya bayangkan azabnya ditelan api,” tambahnya lagi serentak menitiskan air mata sambil menuding jari ke arah aras atas bangunan berwarna kuning yang menempatkan asrama penginapan murid dan warden itu.

Tinjauan Malaysia Dateline di lokasi tragedi mendapati orang ramai termasuk dari luar Lembah Kelang berkunjung untuk melihat sendiri bangunan yang menyaksikan 21 murid dan dua guru maut akibat terperangkap dalam kebakaran tragis itu.

Rata-rata pengunjung ditemui berpendapat jumlah korban mungkin boleh diminimumkan jika pihak pentadbir pusat tahfiz mematuhi aspek keselamatan walaupun dikatakan hanya sementara dan berlaku akibat perbuatan khianat.

Siasatan awal pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejurus kejadian merumuskan punca 23 penghuni pusat tahfiz itu terperangkap disebabkan pemasangan jeriji tingkap di tingkat tiga, laluan terhalang dan susunan katil yang menyukarkan mangsa menyelamatkan diri.

 

Jalan Keramat Ujung di ibu negara terus menerima kunjungan orang ramai yang ingin melihat kesan tragedi yang menggemparkan.