Malaysia Dateline

Kenal pasti lokasi sasaran Food Bank elak pembaziran makanan dikalangan gelandangan

Food Bank yang diperkenalkan  kerajaan antara lainnya akan menyalurkan bantuan makanan kepada golongan sasar seperti  gelandangan dengan kerjasama antara syarikat korporat, pemilik hotel dan restoran sebagai salah satu medium menyalurkan bantuan makanan lebih tersasar.

Sudah pasti perlaksanaan itu akan digerakkan oleh NGO dan sukarelawan yang selama ini sentiasa  berada  di lapangan untuk mendekati golongan sasar seperti gelandangan.

Justeru komunikasi yang baik antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  dan badan sukarela dilapangan dalam menyalurkan makanan bagi kepada golongan gelandangan diharapkan akan dapat meminimakan tabiat pembaziran makanan yang berlaku selama ini dikalangan gelandangan

Mohd Ali Shamin

Meninjau pandangan mereka mengenai pelaksanaan Food Bank ini Sukarelawan, Mohd Ali Shamin, yang sudah empat tahun mengedarkan makanan kepada gelandangan berkata, NGO seharusnya mempunyai perancangan yang sistematik bagi mengelakkan pertindihan kuantiti makanan yang diberikan.

Katanya, perancangan sistematik itu adalah seperti, ketua sesebuah NGO itu perlu mengenal pasti terlebih dahulu lokasi yang mahu dijadikan sasaran menghantar makanan.

“Selepas mengenal pasti lokasi, NGO atau sesiapa pun yang terlibat perlu berkomunikasi dalam ‘membahagikan’ tempat supaya tidak berlaku ‘pertembungan’ ketika memberi makanan kepada golongan gelandangan itu.

“Tapi saya tengok mereka (NGO) ini tidak berkomunikasi antara satu sama lain, dah ada NGO datang bagi makanan, setengah jam kemudian datang lagi NGO, kemudian datang lagi sukarelawan.

“Selama empat tahun saya edarkan makanan, saya tengok gelandangan ini bila setiap kali orang bagi makanan, dia akan sorokkan makanan tersebut.. mereka akan ambil makanan setiap masa, tapi cuma makan sikit, lepas itu buang,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, di sekitar Jalan Hang Lekiu, baru-baru ini.

Sunita Kaur

Sementara itu, NGO dari Nanak Community Kitchen, Sunita Kaur pula berpendapat, golongan gelandangan itu memerlukan sesuatu yang di luar kebiasaan, selain makanan yang telah menjadi menu wajib gelandangan selama ini.

“Maksud saya, golongan itu lebih memerlukan pakaian atau pun selipar yang baharu.. sebab saya lihat, ada dalam kalangan mereka pakai baju yang sama setiap hari dan selipar yang hampir putus.

“Kami dah bagi makanan di sini selama 17 tahun, dan saya lihat memang dah ramai sangat orang bagi makanan kepada gelandangan sampai terjadinya pembaziran, makanan dibiarkan sahaja di kaki lima,” katanya.

Seorang lagi NGO, Lilian Goh juga dari Nanak Community Kitchen, berpendapat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mengadakan pertemuan dengan NGO, kemudian menyasarkan makanan bufet di hotel untuk dijadikan sebagai (pengagihan makanan) Food Bank kepada golongan gelandangan.

“Jika kita lihat bufet di hotel, terlalu banyak makanan yang disediakan untuk tetamu, tetapi tidak semua mengambil makanan itu sampai habis.

Lilian Goh

“Jika kita lihat bufet di hotel, terlalu banyak makanan yang disediakan untuk tetamu, tetapi tidak semua mengambil makanan itu sampai habis.

“Selepas masing-masing NGO menerima lebihan makanan tersebut, mereka boleh berbincang antara satu sama lain untuk mengedarkan di lokasi yang berbeza.

“Menerusi cara sedemikian, saya lihat program Food Bank akan lebih tersusun, secara tidak langsung pembaziran dapat dielakkan,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mencadangkan supaya NGO menyelaraskan aktiviti berbentuk bantuan demi mengelakkan pembaziran.

Nadzim memberitahu, beliau pernah melihat kadangkala makanan yang dihantar kepada golongan gelandangan terlalu banyak, sehingga banyak yang tersisa, sekali gus mendorong NGO perlu membuat perancangan terlebih dahulu sebelum agihan dilakukan.

Susulan cadangan Nadzim, Pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid ketika dihubungi Malaysia Dateline, menyarankan NGO menghulurkan bantuan berbentuk makanan atau pakaian kepada penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan, demi mengelakkan pembaziran berlaku di bulan mulia ini.