Malaysia Dateline

Kenali jenis manusia toksik di tempat kerja

Ramai antara kita yang pernah mempunyai masalah dengan rakan sekerja toksik sehingga menyumbang kepada emosi dan persekitaran yang tidak berapa baik ketika kita bekerja.

Untuk mengatasinya, pasti anda sudah cuba melakukan banyak perkara antaranya memulakan perbualan dengan rakan sekerja, bantu ringankan tugasan rakan dan lebih hebat, anda cuba tidak bergosip pasal dia.

Jadi, di sini anda perlu tahu jenis-jenis manusia toksik supaya anda tidak menghabiskan tenaga mengambil hati mereka yang sememangnya tidak menyukai anda.

Memetik portal Relevan, Pakar psikologi sosial dari Universiti New York, Tessa West menyenaraikan jenis-jenis manusia toksik yang anda boleh jumpa di tempat kerja. Kenal pasti rakan sekerja toksik anda dan ambil tindakan segera supaya sikap negatif mereka tidak tersebar ke seluruh tempat kerja.

Kaki bodek/kaki perlekeh

Kaki bodek dan kaki perlekeh ini sanggup lakukan apa sahaja untuk naik ke pangkat tertinggi, termasuk mensabotaj anda. Mereka juga disukai para bos kerana dilihat boleh buat kerja dengan baik.

Ada masa, mereka akan memperkecil  anda di hadapan rakan sekerja yang berjawatan lebih tinggi. Ketika bos memerlukan bantuan, mereka yang paling tinggi angkat tangan dan menawarkan bantuan. Apabila bos buat lawak walaupun biasa-biasa, mereka yang paling terbahak-bahak gelak.

Pemanipulasi

Menurut West, pemanipulasi ialah rakan sekerja yang paling toksik. Mereka menipu, mewujudkan realiti palsu dan merendahkan harga diri kita untuk kepentingan mereka.

Teknik perdayaan mental (gaslighting) yang sering digunakan termasuk mendakwa kita tidak layak untuk memegang jawatan yang ada. “Semua orang fikir kau tak layak untuk kerja ini, aku yang berusaha keras untuk bantu kau”. Ini dialog manipulasi yang sering diucap manusia toksik sebegini.

Pencuri kredit

Sejenis manusia musang berbulu ayam. Hati-hati dengan sikap mesra mereka kerana mereka juga yang akan mengkhianati anda. Anda perlu berwaspada ketika melontarkan idea, khususnya dalam sesi yang tidak formal.

Jika idea itu cukup baik dan menguntungkan, mereka tidak teragak-agak untuk mencuri dan menjadikannya seakan-akan idea mereka. Kalau jadi sekali, kita boleh tenang lagi. Jika sudah berkali-kali, ia boleh membantutkan potensi anda untuk perkembangan kerjaya yang lebih baik.

Dia yang terpaling senior

Mereka ini orang lama dalam syarikat. Segala sudut pejabat dia kenal. Kabelnya cekang sampai ke pengurusan tertinggi. Dalam mesyuarat, mereka paling awal bersuara untuk menonjolkan kuasa dan pengaruh.

Mereka akan mencari kumpulan pekerja yang lemah untuk mengekalkan dominasi. Pekerja muda yang berjawatan tinggi pun mereka boleh buli, menyebabkan pejabat beroperasi mengikut selera mereka. Dialog kegemaran mereka? “Aku dulu pernah…”.

Pengurus mikro/ menyelia kerja orang bawahan secara berlebihan

Menurut Investopedia, pengurus mikro bermaksud bos atau pengurus yang menyelia kerja orang bawahannya secara berlebih-lebih. Walaupun toksik, tidak semua pengurus mikro berniat jahat terhadap pekerjanya, cuma tindak-tanduknya membawa kesan negatif kepada motivasi dan gerak kerja pekerja.

Jika anda pernah bekerja dengan bos sebegini, anda akan tahu azabnya. Kerja banyak tapi tidak produktif. Ada masa mereka minta kerja siap pada garis waktu yang tidak munasabah. Ada masa kerja ditambah-tambah tanpa sebab.

Bos yang suka mengabaikan kerja

Ada bos yang suka abaikan kita untuk satu tempoh yang lama, abaikan tanggungjawab kemudian hambur segala tanggungjawab yang terabai itu kepada kita.

Kerja-kerja yang terabai hanya diambil peduli pada saat akhir ketika kedudukannya terancam, kemudian kita yang terpaksa menyelesaikannya dalam tempoh yang pendek. Ada kemungkinan juga, banyak kerja yang terabai kerana mereka sendiri tidak sepenuhnya faham tanggungjawab mereka.

Penunggang kerja

Dari zaman sekolah, universiti hingga pekerjaan, manusia jenis ini sentiasa ada. Orang putih sebut free rider. Kerja tak buat tapi mahu kredit. Kalau ada kerja berkumpulan, mereka pilih kerja yang paling mudah tapi masih tak mampu buat dengan baik.

Di mana habitat kegemaran mereka? Syarikat yang memberikan penghargaan kepada semua kakitangan secara sama rata, tanpa mengira prestasi individu.

Dalam mesyuarat bersama bos, mereka paling bersemangat beri cadangan. Habis saja mesyuarat, mereka cadangkan supaya cadangan itu dilaksanakan orang lain, bukan mereka.

Lalu, mereka berjalan lenggang ke pantri untuk sambung berbual perihal pasukan bola sepak kegemaran dan gosip artis.