Kenanga kekalkan penarafan ‘neutral’ bagi sektor pengguna pada 2019

Kenanga kekalkan penarafan ‘neutral’ bagi sektor pengguna pada 2019

Kenanga Research mengekalkan penarafan “neutral” bagi sektor pengguna pada 2019.

Dalam nota hari ini, ia berkata 2019 boleh menjadi tahun yang mencabar dengan pelaksanaan beberapa dasar baharu, yang mungkin memberi tekanan terhadap perbelanjaan pengguna.

“Selain itu, ketiadaan acara sukan pada tahun ini boleh diterjemahkan kepada kurangnya minat untuk berbelanja,” katanya.

Sementara itu, Kenanga berkata penyusutan berterusan ringgit berbanding dolar US, akan meningkatkan kos bagi pengimport, tetapi mungkin akan memanfaatkan pengeksport tertentu.

“Disebalik semua itu, stok pengguna, mencatatkan prestasi lebih baik daripada penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  berbanding sentimen tekanan akhir tahun. Kami menjangkakan ini akan berterusan, berdasarkan keadaan sektor itu yang agak stabil berbanding dengan sektor lain,” katanya.

Selain itu, Kenanga berkata bagi waktu terdekat, suku keempat 2018, sebagai suku pertama penuh di bawah regim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu, mungkin mampu memberikan keselesaan.

“Bagaimanapun, ini mungkin akan dibendung oleh pembelian awal musim menjelang tempoh Tahun Baharu Cina yang disambut  pada awal 2019,” katanya.

Dari segi sentimen pelabur, firma penyelidikan itu turut menjangkakan kaunter pengguna akan kekal kukuh, dengan mengambil kira ia sebagai pilihan “selamat” berikutan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

— BERNAMA