Kenanga Research kekalkan unjuran ‘neutral’ bagi sektor telco

Kenanga Research kekalkan unjuran ‘neutral’ bagi sektor telco

Kenanga Research mengekalkan unjuran “neutral’ bagi sektor telekomunikasi berikutan ketidaktentuan dalam dasar akan terus mendorong pelabur mengambil langkah berhati-hati pada suku pertama 2019 (1Q19).

Bagaimanapun, ia menjangkakan persekitaran operasi akan bertambah baik pada suku kedua atau ketiga (2Q/3Q19), sekiranya Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dimuktamadkan.

Berhubung apa yang boleh dijangkakan pada 2019, Kenanga berkata ia percaya ketidaktentuan dalam dasar ditambah dengan peluasan pengagihan semula 700 MHz akan datang, akan terus memberi cabaran besar terhadap sektor telekomunikasi pada 1Q19.

“Namun begitu, persekitaran operasi dijangka bertambah baik pada  2Q/3Q19 sekiranya kerajaan berjaya memuktamadkan NFCP,” katanya dalam nota hari ini.

Mengenai NFCP, kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion untuk menggalakkan ekonomi digital ( diumumkan dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini) menerusi pelaksanaan NFCP.

Pelan itu secara jelas menetapkan hala tuju strategik bagi pelaksanaan dasar/inisiatif yang menyokong ekonomi digital dan pada masa sama mewujudkan persekitaran kondusif untuk mempermudah guna pakai teknologi masa depan.

Ia turut menggariskan untuk menangani cabaran dari segi liputan jalur lebar, kebolehmampuan dan kualiti infrastruktur digital.  Tempoh pelaksanaan NFCP ditetapkan selama lima tahun sehingga 2023.

Berhubung cabaran dalam pelaksanaan NFCP, Kenanga berkata pihak berkuasa telah menggariskan beberapa perubahan, termasuk, menyediakan akses internet bagi setiap isirumah berdasarkan permintaan, memastikan pembelian daripada pemegang kepentingan  untuk membina infrastruktur sebagai kemudahan awam dan memastikan infrastruktur komunikasi berkualiti menerusi dasar gentian yang ketat (termasuk secara berperingkat tidak lagi menggunakan rangkaian diperbuat daripada tembaga).

Cabaran lain termasuk meminda undang-undang relevan termasuk CMA 98 dan menggalakkan persaingan.

“Untuk menangani cabaran pelaksanaan infrastruktur ini, pihak berkuasa telah merancang untuk menghapuskan orang tengah, mengurangkan birokrasi dan meningkatkan tahap kelajuan menerusi proses penstriman Right-of-Way (RoW)  (seperti “”digging and trenching””, pemasangan gentian dan kualiti), serta menamatkan khidmat Agensi Sehenti (OSA), di samping mempunyai perancangan penyelarasan lebih baik dan kelulusan syarat oleh pihak berkuasa tempatan dan negeri,” kata Kenanga.

— BERNAMA