Malaysia Dateline

Kenanglah juga nasib saudara di Palestin ketika sambut Aidilfitri

Sempena Aidilfitri yang akan disambut esok, Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengajak seluruh umat Islam agar tabah menghadapi ujian buat kali kedua ketika menyambut lebaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam ucapan ringkas Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, beliau menyeru agar sama-sama mengenangkan nasib saudara di Palestin yang sedang berhadapan situasi yang amat sukar di saat tanah air mereka dijajah, dirampas oleh pengganas Israel.

“Apatah lagi masjid-masjid yang mulia telah dicerobohi oleh rejim yang zalim ini,”katanya.

Mohamad juga mengajak semua sama-sama berdoa kepada Allah SWT memohon kekuatan kemenangan buat saudara-saudara yang ditindas.

Dan yang penting juga, katanya meminta semua rakyat negara ini memohon kepada Maha Esa agar wabak COVID-19 diangkat daripada dunia ini.

“Semoga kita akan perolehi kemenangan sebagai seorang hamba yang berjaya melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan dan memperolehi taqwa.

“Semoga kita semua perolehi kemenangan dalam perlawanan terhadap penjajahan, kezaliman dan ketidakadilan yang melanda banyak negara ketika ini.

“Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin,” ucap beliau.