PRN Sarawak sangat bermakna untuk Amanah, kata pengarah pilihan raya

PRN Sarawak sangat bermakna untuk Amanah, kata pengarah pilihan raya

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mempunyai makna tersendiri kepada Amanah sebagai parti yang berusia kurang daripada setahun, kata Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr Hatta Ramli.

Pengarah Pilihan Raya Amanah itu berkata, parti berkenaan boleh dianggap sebagai parti baharu yang lebih suci memandangkan bergerak di atas prinsip bersama dengan PKR dan DAP.

“Kita masuk ke gelanggang pilihan raya buat julung-julung kalinya atas semangat kebersamaan dalam komponen Pakatan Harapan.

“Peranan Amanah untuk melengkapkan kerangka Pakatan Harapan. Kita tidak bertindih kerusi dengan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Operasi Pilihan Raya malam tadi di Dun Sadong.

Pembahagian kerusi Dun untuk PRN kali ini, jelasnya, berjalan lancar kerana Amanah bertanding untuk menang seterusnya bagi menyelamatkan rakyat Malaysia.

Ditanya tentang pertembungan lima kerusi Dun antara Amanah dan Pas, Dr Hatta menyifatkan parti diketuai Hadi Awang itu sebagai tersasar jauh daripada aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.

“Amanah sama sekali tiada keperluan untuk berunding dengan Pas. Kita bertanding atas tiket Pakatan Harapan dan Pas tidak bersama kita.

“Apa lagi pimpinan Pas pun mendakwa Amanah bukan ancaman kepada partinya. Terbukti Pas yang mengacau kerusi pembangkang apabila bertindih lima kerusi dengan Amanah, tiga kerusi dengan PKR dan dua dengan DAP,” tambahnya lagi.

Hari ini seramai 226 calon bertanding bagi menduduki 80 Dun selepas dua kerusi iaitu Dun Bukit Sari dan Bukit Kota menang tanpa bertanding.

Penentangan lima penjuru muncul di lima Dun manakala 12 kawasan lagi menyaksikan pertandingan empat penjuru serta tiga penjuru berlangsung di 27 Dun.

TAGS