Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini telah menyambut ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-65 pada 22 November lalu.
Dalam majlis istiadat di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru itu, baginda bertitah akan melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hal ini kerana, Sultan Ibrahim bakal melaksanakan tanggungjawab baharu baginda selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada awal tahun hadapan.
Oleh yang demikian, baginda mengamanahkan Kerajaan Negeri Johor untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Ismail yang bakal dilantik sebagai Pemangku Sultan itu.
Namun, apa yang menjadi perhatian ramai dalam majlis istiadat itu adalah kedudukan kerusi milik Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.
Mana tidaknya, kedudukan Tunku Iskandar yang merupakan anakanda lelaki pertama Tunku Ismail itu telah diletakkan di tengah antara takhta Sultan dan Permaisuri Johor.
Bukan suatu kebetulan, pastinya ada mesej penting yang cuba disampaikan melalui penentuan kedudukan Tunku Iskandar di singgahsana kerajaan negeri Johor itu.
Mengundang perbincangan hangat, seorang pengguna TikTok tampil menjelaskan perkara itu menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform berkenaan.
Jelas individu yang menggunakan akaun @starafmedia itu, kedudukan kerusi milik Raja Muda itu merupakan simbolik kepada kesinambungan takhta negeri Johor.
“Kita dapat melihat Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail telah diletakkan di antara takhta Sultan Johor dan juga takhta Permaisuri Johor.
“Dapat kita simpulkan bahawa ini adalah satu simbolik penting yang melambangkan kepentingan susur galur dan juga kesinambungan pewaris takhta di negeri Johor,” katanya.
Diputerakan pada 10 Oktober 2017, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim adalah putera sulung kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Setelah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Johor, Tunku Iskandar secara rasmi menjadi waris kedua kepada takhta pemerintahan kerajaan Johor yang menyusul selepas ayahandanya, Tunku Ismail.
Baca juga: Bersihkan microwave dan hilangkan bau guna tip ini, dalam masa 10 minit dah ‘settle’!