Kenapa Annuar tidak batalkan tajaan TRW?

Kenapa Annuar tidak batalkan tajaan TRW?

Pemuda Amanah Nasional mempersoal sikap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa yang tidak membatalkan penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) oleh anak syarikat Mara iaitu Pelaburan Mara Berhad dan Universiti Kuala Lumpur.

Faiz FadzilTimbalan ketuanya Faiz Fadzil berkata, penjelasan Annuar bahawa dirinya tidak dirujuk untuk keputusan tajaan tersebut masih tidak menghapuskan tanggapan bahawa Ketua Penerangan Umno itu tidak mengetahui sebarang keputusan yang telah dicapai.

“Lagipun, selaku Presiden TRW ketika penajaan tersebut, sudah pasti beliau (Annuar) boleh sahaja membatalkan tajaan tersebut kerana wujud percanggahan kepentingan di antara kedua-dua entiti yang dipimpinnya.

“Namun, beliau tidak berbuat apa-apa sedangkan penajaan tersebut adalah satu kredit kepadanya dalam memimpin TRW,” kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Annuar mendakwa dirinya tidak terlibat dalam rundingan pakej komersial Pelaburan Mara Berhad dan Universiti Kuala Lumpur untuk TRW sebaliknya segala keputusan berhubung perkara itu diputuskan oleh pihak pentadbiran.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Mara pagi tadi selepas sejam dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Mara diketuai Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Mara, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

Mengulas lanjut, Faiz berpendapat Annuar pasti boleh sahaja mengarahkan pembatalan tajaan tersebut jika menyedari kepentingan dana Mara yang harus disalurkan untuk bantuan pendidikan pelajar dan modal perniagaan usahawan Melayu.

“Jika urus tadbir baik (good governance) diamalkan, seharusnya penajaan tersebut terus dibatalkan memandangkan selaku Presiden TRW, Tan Sri Annuar Musa mengetahui siapakah penaja TRW. 

“Namun, Tan Sri Annuar Musa sanggup meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat terutama anakmuda Melayu.

“Akibatnya, nasib orang Melayu semakin tidak terbela dan jauh ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan dan perniagaan,” tambahnya lagi.

Tahun lalu, Pelaburan Mara Berhad mengambil bahagian dalam TRW dengan perbelanjaan mencecah RM200,000 dengan membeli tawaran pakej pengiklanan komersial.

Annuar kemudiannya digantung tugas sebagai Pengerusi Mara dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta-merta pada 31 Januari lalu.

TAGS