Kenapa Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange dikecuali arahan henti bina?

Tindakan tidak konsisten Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menjalankan arahan kerajaan berhubung moratorium ke atas pembekuan pembangunan hartanah mewah di ibu kota menimbulkan persoalan.

Kabinet sebelum ini mengarahkan DBKL agar menghentikan sementara kelulusan semua projek pembangunan mewah yang bernilai lebih RM1 juta susulan amaran Bank Negara mengenai ketidakseimbangan pasaran hartanah di negara ini.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz memaklumkan projek Bandar Malaysia tidak akan dikenakan larangan berkenaan memandangkan pembekuan itu tidak bersifat menyeluruh.

“Kami belum menerima sebarang permohonan dari Bandar Malaysia, tetapi tidak, kerana ia bukan satu larangan (menyeluruh).

“Bagi pembangunan tertentu, ini boleh diluluskan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bertanya sama ada pembinaan menara pejabat di Tun Razak Exchange yang memakan kos ratusan juta ringgit akan turut diberikan pengecualian oleh DBKL.

“Dalam masa sama, diumumkan semalam bahawa IJM akan membina sebuah menara pejabat berharga RM500 juta di Tun Razak Exchange selepas mengambil alih anak syarikat TRX City, Fairview Valley Sdn Bhd.

“Adakah menara baru ini, yang dianggarkan berukuran 560,000 kaki persegi akan turut dikecualikan daripada larangan tersebut?” soalnya yang Setiausaha Publisiti DAP.

Menurut beliau, pengecualian ke atas dua projek mega berkaitan 1MDB itu akan menyebabkan masalah ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran hartanah di negara ini semakin meruncing.

“Jika projek 486 ekar Bandar Malaysia dan 70 ekar Tun Razak Exchange menerima pengecualian larangan automatik tersebut – bagaimana ia akan dilihat adil kepada pemain industri pembangunan hartanah yang lain di negara ini?

“Jelas bahawa ‘moratorium’ itu akan gagal menyelesaikan masalah ketidakseimbangan penawaran-permintaan dalam sektor hartanah kita,” ujarnya.

Lebih buruk lagi, katanya pelaburan asing berkemungkinan tidak lagi berminat untuk melabur di negara ini ekoran dasar yang tidak konsisten dan tidak adil seumpama itu.

CATEGORIES
TAGS