Kenapa bantah pesta arak, MP AMANAH beri alasannya

Kenapa bantah pesta arak, MP AMANAH beri alasannya

Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan, membantah ‘Better Beer Festival 2017’ tidak bermaksud Islam mengganggu hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras.

Namun katanya, beliau membantah acara tersebut kerana ia merupakan satu promosi untuk menggalakkan budaya meminum arak.

“Saya bimbang melihat ada anggota parlimen bukan Melayu dan di Wilayah Persekutuan yang menyokong Better Beer Festival.

“Saya fikir sebab utama bantahan mereka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kerana mereka merasakan sedang mempertahankan hak orang bukan Islam untuk meminum alkohol, dan kerana pihak yang membantah pesta itu menggunakan hujah-hujah agama.

“Islam melarang umatnya meminum alkohol tetapi tidak mengganggu hak orang bukan Islam untuk meminumnya.

“Asas bantahan saya terhadap Better Beer Festival adalah ia merupakan satu pesta untuk menggalakkan budaya meminum arak,” katanya alam kenyataan.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) itu juga berkata, ketika festival itu pertama kali dianjurkan, ia tidak begitu popular dan jumlah kehadiran tidaklah tinggi.

Namun katanya, sejak ia dipolitikkan, ada segelintir yang mahu menghadirinya hanya kerana membantah apa yang mereka rasakan sebagai usaha orang Melayu Islam untuk menyekat hak, serta memaksakan nilai kepada orang bukan Melayu.

Bercakap dari sudut kesihatan, Siti Mariah berkata, seperti rokok, minuman keras juga membahayakan kesihatan.

“Para doktor tahu bahawa ketagihan alkohol akan membawa kepada masalah sirosis hati dan sama bahaya dengan ketagihan dadah,” katanya.

Malah katanya, masyarakat India di Malaysia juga telah melihat kesan negatif ketagihan alkohol dan kesannya ke atas keluarga.

“NGO mereka telah pun mendesak agar penjualan alkohol dikawal dengan lebih ketat, termasuklah minuman bir memandangkan hari ini lesen tidak diperlukan untuk menjualnya.

“Anggota parlimen sekalian, adakah anda mahu lebih ramai warga bukan Melayu menjadi ketagih alkohol? Jangan beri alasan kandungan alkohol dalam bir adalah rendah dan tidak akan membawa kepada ketagihan. Anda salah sama sekali,” katanya.

Beliau juga berpandangan, jika setiap tahun diadakan pesta arak ini, ia hanya menandakan semakin ramai rakyat yang meminumnya dan industri minuman keras pasti meraikannya kerana ia melibatkan keuntungan.

“Adakah anda akan gembira apabila semakin ramai yang mula minum arak sebagai aktiviti sosial (social drinker), tetapi kemudian akan membawa kepada kemungkinan ketagihan?

“Saya bimbang apabila semakin ramai rakyat kita yang menjadi ketagih, serta kesan kesihatan dan sosial yang berkaitan dengannya. Kalau boleh pada masa akan datang, saya mahu penjualan semua bahan berbahaya dikawal sama seperti rokok,” katanya.