Kenapa BN tidak berani bagi P Pinang bina jambatan tanpa tol

Kenapa BN tidak berani bagi P Pinang bina jambatan tanpa tol

Exco Kerja Raya Kerajaan Negeri Pulau Pinang Lim Hock Seng sudah putus asa mengulang penjelasannya kepada empat soalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Pengarah Strategi BN Abdul Rahman Dahlan tentang projek terowong dasar laut Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM3.7 bilion yang dijalankan secara tender terbuka. Pun begitu, saya telah meminta Lim untuk bersabar, seperti seorang guru mengajar murid lembam dan menjawab lagi esok.

Abdul Rahman sememangnya tidak layak menjadi menteri kerana beliau bukan sahaja menikus daripada cabarannya untuk berdebat dengan saya dan lari ke luar negara, malah telah menunjukkan keberaniannya untuk sekadar berbohong dari keselesaan pejabat menterinya yang berhawa dingin. Saya merujuk dakwaan terbaru Abdul Rahman bahawa kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengenakan tol untuk terowong dasar laut bagi tempoh konsesi 30 tahun ekoran kosnya yang tinggi berbanding membina jambatan.

Abdul Rahman mendakwa bahawa tempoh konsesi 30 tahun adalah terlalu lama dan tidak pernah dilakukan dalam mana-mana perjanjian konsesi di Malaysia atau mana-mana tempat di dalam dunia.

Abdul Rahman sekali lagi telah menipu. Beliau tak perlu pergi merantau ke luar negara, jawapannya ada di depan mata, iaitu Projek Lebuhraya Utara Selasa (PLUS). PLUS dianugerahkan perjanjian konsesi selama 30 tahun dan kemudian dilanjutkan selama 20 tahun lagi sehingga tahun 2038. Lebih teruk lagi ialah Lebuhraya Pantai Barat dari Banting (Selangor) ke Taiping (Perak) dengan rekod 60 tahun tempoh konsesi.

Biar saya tekankan bahawa terowong dasar laut ini bukannya akan dibina serta-merta tetapi merupakan rancangan jangka masa panjang untuk 12 tahun lagi, dibina pada 2027 apabila jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua) dijangka akan sesak. Kita tidak boleh mula merancang hanya apabila jambatan sudah sesak dengan kenderaan kerana tiada jambatan boleh dibina dengan sekelip mata, malah memerlukan perancangan jauh lebih awal dengan mengambil kira pertumbuhan pelaburan dan industri pelancongan di Pulau Pinang.

Abdul Rahman telah mencabar Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang tentang kenapa kami akan mengenakan tol ke atas terowong tersebut, sedangkan kami membantah tol-tol BN. Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang bangga dengan rekod kami sepanjang 8 tahun lalu membina jambatan dan lebuhraya empat lorong tanpa mengenakan tol. Paling baru dilancarkan minggu lalu, ialah lebuhraya empat lorong di Paya Terubong bernilai RM275 juta, yang tidak akan mengenakan tol.

Berbanding kerja membina jambatan, terowong memakan kos dua kali ganda. Kerajaan Negeri tidak ada pilihan lain kecuali mengenakan tol untuk membiayai kos tinggi terowong dasar laut ini dengan tukaran tanah. Pun begitu, sekiranya Kerajaan Persekutuan boleh memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan berbanding terowong, penjimatan yang diperolehi boleh digunakan untuk membiayai sebuah jambatan bebas tol.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan telah enggan untuk memberikan kebenaran dan telah memilih untuk meneruskan mentaliti sabotaj seperti yang diperlihatkan dalam projek kereta kabel SkyCab, atau mengarahkan budak-budak samsengnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya siasatan dapat dijalankan hanya untuk menggagalkan projek terowong.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecam keras dakwaan Abdul Rahman bahawa kami mensabotaj Jambatan Kedua dengan membina laluan ketiga dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam. Bagaimana mungkin Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu mensabotaj Jambatan Kedua ke Batu Kawan apabila berbilion ringgit telah dicurahkan oleh Kerajaan Negeri untuk membina sebuah bandar baru di Batu Kawan? Ini langsung tidak masuk akal, apatah lagi dengan pembukaan IKEA di sana pada tahun 2018, Sime Darby Bhd telah menandatangani pelaburan usaha-sama bernilai RM2 bilion dengan kerajaan negeri untuk membina sebuah kawasan industri kecil dan sederhana, manakala Temasek Holdings dari Singapura telah menandatangani perjanjian usaha-sama RM10 bilion untuk membina kawasan perindustrian berteknologi tinggi, selain universiti dan hospital yang telah mula dibina.

Laluan ketiga ini menghubungkan Seberang Perai Utara dengan pulau. Laluan ketiga ini diperlukan demi pembangunan yang seimbang, bagi memastikan Seberang Perai Utara tidak ketinggalan memandangkan kedua-dua Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan masing-masng mempunyai jambatan.

Harus diingat bahawa kesemua kerja-kerja infrastruktur ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri tanpa satu sen pun wang Kerajaan Persekutuan yang telah gagal memenuhi tanggungjawabnya ke atas Pulau Pinang walaupun menerima sumbangan tahunan dalam bentuk cukai dan duti berjumlah lebih RM6.5 bilion. Meski tidak perlu mengeluarkan walau satu sen pun, Kerajaan Persekutuan enggan memberikan kebenaran.

Kenapa Kerajaan Persekutuan begitu bimbang mahu memberikan kebenaran kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina Jambatan Ketiga sedangkan mereka tidak perlu membayar walau satu sen pun? Bukankah jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal membina Jambatan Ketiga yang bebas tol, BN boleh ketawakan kami kerana gagal menepati janji atau cakap tak serupa bikin. Atau adakah BN bimbang bahawa Pakatan akan berjaya membina jambatan bebas tol, sedangkan BN gagal melakukannya, bagi mempamerkan pembangunan berpusat rakyat berbanding pembangunan BN yang mementingkan kroni?

*Lim Guan Eng ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, merangkap Setiausaha Agung DAP

COMMENTS

Wordpress (0)