Malaysia Dateline

Kenapa boleh tawar-menawar dalam kes Riza Aziz?

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau pelik kenapa boleh berlaku tawar-menawar dalam kes Riza Aziz, yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Mahkamah Sesyen pada 14 Mei lalu melepaskan tanpa membebaskan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Kata Mahfuz, dalam kes Riza Aziz ini, apa yang berlaku agak pelik kerana melalui representasi tersebut berlaku unsur tawar-menawar iaitu Riza Aziz akan dilepaskan tanpa dibebaskan dengan syarat beliau membayar sejumlah wang mengikut terma perjanjian antara pihak Riza Aziz dengan pihak Jabatan Peguam Negara.

“Saya tidak pernah mendengar representasi yang ada unsur tawar-menawar antara orang yang dituduh dan didakwa dengan pihak Peguam Negara atau Pendakwa itu sendiri.

“Ini merupakan isu yang menjadi tanda soal kepada kita semua kenapa unsur tawar-menawar itu boleh berlaku.

“Apakah selepas jika ada lagi kes-kes berkaitan pengubahan wang haram daripada pihak yang lain, bolehkah mereka membuat representasi dan kemudiannya boleh ada tawar-menawar untuk mereka membayar semula wang tersebut melalui terma-terma yang dipersetujui dalam perjanjian,” soal beliau melalui siaran rakaman video menerusi media sosial beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu kemudiannya berkata, apabila berlaku tawar-menawar dalam kes ini, iaitu perjanjian untuk Riza Aziz membayar semula, secara tidak langsung, pembayaran itu adalah pembayaran wang diseleweng oleh beliau melalui tuduhan pengubahan wang haram itu.

“Sepatutnya inilah fakta yang menunjukkan bahawa beliau telah melakukan pengubahan wang haram tersebut dan sepatutnya tidak ada tawar-menawar untuk beliau dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Tetapi malangnya apabila Jabatan Peguam Negara melalui pihak Timbalan Pendakwa membaca satu keputusan untuk bersetuju dengan keputusan representasi yang dibuat oleh pihak Riza Aziz,” kata beliau.

Mahfuz turut mempersoalkan jumlah bayar balik yang dibuat oleh Riza Aziz juga lebih rendah daripada jumlah wang dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau membabitkan 1MDB.

Beliau selanjutnya meminta pihak Jabatan Peguam Negara, khususnya kerajaan menjelaskan kenapa representasi berunsur tawar-menawar ini boleh berlaku dalam kes Riza Aziz ini dan apakah muslihat di sebalik representasi ini.

Riza Aziz yang dituduh dengan lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), dilepaskan oleh Hakim Azman Ahmad.

Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures didakwa melakukan kesalahan itu berhubung wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan dana 1MDB.