Malaysia Dateline

“Kenapa bukan ucapan tahniah?”- Pelajar terkilan SPM dapat 6A tapi respon ibu buat hati terluka

Semalam merupakan hari bersejarah buat pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berikutan tanggal 16 Jun adalah hari mereka memperoleh keputusan peperiksaan selepas menempuh proses pembelajaran yang sukar sepanjang tempoh pandemik.

Namun di sebalik hari mendebarkan tersebut, seorang pelajar meluahkan rasa kecewa selepas keputusan SPM yang diperolehinya tidak mendapat respon membanggakan dari ibu biarpun keputusannya agak cemerlang.

Menerusi tangkap layar luahan yang dikongsikan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya, pelajar berkenaan berjaya meraih 6A tanpa sebarang subjek gagal berbanding keputusan percubaan SPM yang memperoleh 4A dan 2G.

Katanya, dia rasa terkilan apabila ibu tidak mengucapkan tahniah tetapi sebaliknya hanya bertanya mengapa cuma 6A.

“Assalamualaikum, hari ini 16.6 saya ambil result SPM. Bersyukur sangat-sangat dengan result yang saya peroleh. Masa percubaan dapat 4A 2G dan lain-lain lagi.

“Alhamdulillah SPM dapat 6A. 3A+, 3A dan lain-lain, tapi tiada G. Ingat ibu bapa bangga. Bila telefon mak, mak cakap ‘kenapa sikit sangat A? Sakit uhh hahaha, balik terus masuk bilik nangis sedu-sedu.

“Kenapa bukan ucapan tahniah atau umi bangga ngan anak umi ke haih. Di Twitter tengok seorang ini keputusan dia tak gempak pun tapi dia dikurniakan seorang mak yang sangat menyokong, cemburu tau,” luahnya.

Pelajar tersebutjuga sempat memberikan pesanan kepada ibu bapa di luar sana supaya sentiasa menunjukkan rasa bangga dan hargai akan setiap pencapaian anak mereka.

“Kata-kata mak ayah ini memberi kesan yang mendalam terhadap emosi anak-anak. Nasib saya cool walaupun dah puas nangis, reda jela yang penting saya bangga dengan diri saya,” luahnya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan kata-kata pelajar tersebut bahawa segala apa yang dikeluarkan dari mulut ibu bapa sangat memberi Impak kepada diri seorang anak.

Ada juga yang berkongsikan pengalaman sama dan menjelaskan bahawa bukan mudah untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan para pelajar perlu belajar dari rumah disebabkan pandemik Covid-19.

Baca juga: Syahmi perjelas kenapa filem arahan keduanya tak masuk pawagam macam Mael Totey

Baca juga: Berhenti menganaktirikan Johor – Sultan Ibrahim Iskandar