Kenapa hanya 10 barangan sahaja yang dikawal, soal Salahuddin

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoal tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyenaraikan lebih banyak barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, hal tersebut jauh berbeza dengan kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui kementerian diterajuinya serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kenapa hanya 10 barangan sahaja yang dikawal? Kami PH dulu (MOA & KPDNHEP 2019) menyenaraikan 22 barang-barang kawalan untuk keselesaan rakyat menyambut hari-hari perayaan utama di negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian menerusi Twitter selepas meninjau situasi harga bekalan makanan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur pagi tadi.

Sehubungan itu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH menuntut agar Kabinet XXXL diterajui Mahiaddin Yassin agar benar-benar peduli dengan hak dan nasib majoriti rakyat.

“Bantulah yang terbaik untu rakyat. Menteri-menteri ada kuasa. Guna kuasa dengan sebaik-baiknya,” gesanya.

Bermula semalam, ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung antara yang diumumkan dalam senarai SHMMP bagi menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Tempoh kuat kuasa SHMMP adalah 30 hari iaitu 22 hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan yang dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.