Malaysia Dateline

Kenapa hanya 6 daripada 111 projek dikemukakan P. Pinang diluluskan Kerajaan Pusat?

Kerajaan Persekutuan seharusnya bersikap adil dan saksama kepada kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya dalam projek yang dilaksanakan bagi manfaat rakyat negeri ini apabila hanya 6 daripada 111 projek diluluskan Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini hanya 6 daripada 111 projek bagi manfaat rakyat negeri ini yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2022 telah diluluskan.

“Pulau Pinang merupakan negeri tertinggi yang menyumbang kepada jumlah pelaburan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Namun begitu ia tidak diberi layanan adil oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sepatutnya Pulau Pinang layak dipertimbangkan lebih banyak projek bagi manfaat rakyat kerana negeri ini mencatat nilai eksport bernilai RM310 billion bagi tahun 2020 yang mana ianya mewakili 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara.

“Malahan Pulau Pinang juga telah berjaya menjana RM110 billion nilai lebihan dagangan untuk tahun yang sama meskipun negeri ini adalah antara negeri yang terkecil dalam negara dan amat berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius demi manfaat rakyat dan negeri ini, ” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong.

Sejajar dengan itu tambah beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang turut menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengenal pasti perkara yang membabitkan hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat serta juga kesaksamaan dalam pengagihan sumber.

Baca juga: Hembus nafas terakhir di KLIA sejurus pulang dari Tanah Suci Makkah

Baca juga: Peguam Negara digesa tarik balik wakili guru dalam kes peribadi