Kenapa jualan RMBJ diurus pemaju perumahan bukan kerajaan negeri?

Oleh ARIF ATAN

Dalam Belanjawan Johor 2022 yang diluluskan dalam Sidang Dun Johor pada 28 November lalu ada dinyatakan bahawa semenjak Dasar Perumahan Rakyat Johor (DPRJ) diperkenalkan, sebanyak 153,712 unit Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) tidak dibina oleh pihak pemaju perumahan yang melibatkan keluasan tanah 4,950 ekar.

Pihak pemaju perumahan telah bersetuju menyerahkan tanah tapak RMBJ tersebut kepada pihak kerajaan bersekali dengan infrastruktur dan utiliti.

Kerajaan Johor melalui Program Khas Rumah Johor bercadang membangunkan tanah tersebut melalui konsep Public Private Partnership (PPP) atau ‘Penswastaan’.

Pada 27 November lalu, Menteri Besar telah melancarkan projek perintis Program Khas Rumah Johor (juga dikenali sebagai Rumah Makmur Johor) di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri. Rumah yang dibina adalah Jenis A (RM150,000), Jenis B (RM250,000) dan Jenis C (RM300,000). Jumlah keseluruhan rumah yang akan dibina adalah 2,500 unit.

Syarikat Pemaju Perumahan yang telah dilantik bagi projek penswastaan ini adalah Syarikat Selesa Rakyat Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Tropicana Development (Johor) Sdn. Bhd.

Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan oleh kerajaan kepada rakyat Johor:

1. Kenapakah hanya rumah berharga RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 sahaja yang dibina sedangkan jika merujuk kepada DPRJ 1.0 (yang telah dilakukan proses penambahbaikan dan dilancarkan pada 1 April 2019), RMBJ adalah terdiri dari harga RM42,000, RM80,000, RM150,000, RM250,000 dan RM300,000.

Saya memahami pembinaan RMBJ RM42,000 dan RM80,000 tidak menguntungkan pihak pemaju perumahan bahkan memerlukan ‘cross subsidy’ daripada keuntungan pembinaan rumah yang bukan kategori RMBJ.

Dalam Projek Perintis Rumah Makmur Johor, Gerbang Nusajaya pihak pemaju diberikan tanah secara percuma termasuk kos infrastruktur dan utiliti. Dengan kata lain pihak pemaju perumahan telah mendapat penjimatan kos dari aspek membeli tanah, menyediakan kos infrastruktur dan utiliti.

Dengan penjimatan tersebut adalah munasabah bagi pihak pemaju menyediakan pembinaan RMBJ yang berharga RM42,000 dan RM80,000 yang merupakan keperluan utama golongan B40.

2. Dalam DPRJ 1.0 dinyakan dengan jelas bahawa urusan penjualan RMBJ adalah diuruskan oleh SUKJ(Perumahan) bagi memastikan bahawa RMBJ yang merupakan rumah bersubsidi sampai kepada kumpulan sasaran.

Dalam DPRJ 1.0, dinyatakan mana-mana pemohon yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan layak untuk nama mereka dimasukan dalam proses undian terbuka (open balotting). Proses Undian terbuka ini akan dapat menjamin ketelusan dalam proses pemilihan permohonan yang berjaya.

Saya difahamkan bagi Projek Perintis Rumah Makmur Johor, Gerbang Nusajaya proses pemilihan tidak diuruskan oleh SUKJ(Perumahan) tetapi sebaliknya diuruskan oleh pihak pemaju perumahan iaitu Selesa Rakyat Sdn. Bhd. Tindakan ini sebenarnya akan mendedahkan kepada isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan ada kemungkinan RMBJ ini tidak sampai kepada kumpulan sasarannya.

3. Kerajaan Johor perlu berlaku telus dan berintegriti dalam menguruskan RMBJ. Oleh itu penjualan Rumah Makmur Johor, Gerbang Nusajaya perlu dikendalikan sepenuhnya okeh SUKJ(Perumahan).

Kerajaan juga perlu menimbangkan semula pembinaa RMBJ berharga RM42,000 dan RM80,000 seunit bagi memastikan bahawa Projek Rumah Makmur ini benar-benar memberikan peluang kepada B40 dan M40 untuk memilikki rumah sendiri dan tidak sebaliknya menguntungkan pihak yang lain.

*SR. DZULKEFLY AHMAD merupakan Adun Kota Iskandar merangkap Timbalan Pengerusi AMANAH Johor.