Malaysia Dateline

Kenapa kami tentang perkahwinan bawah umur

Langkah pengharaman perkahwinan bawah umur telah secara lantang digesa oleh banyak pihak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kesan yang merosakkan melibatkan perkahwinan kanak-kanak telah diketahui secara global, sekali gus menggerakkan banyak negara untuk menjalankan langkah dalam meminda perundangan yang berkaitan, antara lain, dengan menaikkan usia minimum perkahwinan.

Usaha-usaha untuk menjalankan perkara sama di bawah pentadbiran PH menyaksikan beberapa negeri telah bersetuju untuk meminda undang-undang bagi mempertingkatkan umur minimum perkahwinan sementara beberapa negeri menolak.

Satu pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur telah digerakkan awal tahun ini. Selepas berlaku peralihan kerajaan secara tiba-tiba, seorang Ahli Parlimen PAS telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

PAS sebelum ini dilaporkan telah menolak cadangan pengharamanan perkahwinan bawah umur. Sebagai contoh dipetik daripada portal atas talian the Star bertarikh 26 Julai 2018, Naib Presiden PAS berkata ‘pengharaman perkahwinan bawah umur adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam’.

Portal Malaysiakini juga melaporkan pada bulan November 2018 bahawa ‘perbincangan meja bulat yang dianjurkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah menyimpulkan bahawa perkahwinan bawah umur selaras dengan undang-undang Syariah bahkan ‘keperluan di negeri ini.’

Pada bulan Mac lalu, Hannah Yeoh ada menyuarakan kebimbangannya terhadap nasib pelan strategik kebangsaan berkaitan perkahwinan bawah umur dengan pelantikan wakil rakyat dari PAS melalui satu ciapan di Twitter beliau.

Diminta mengulas komen tersebut, Siti Zailah selaku Timbalan Menteri KPWKM berkata beliau tiada masalah dengan mana-mana dasar selagi ia selari dengan al-Quran dan hadis.

Memetik artikel yang sama, Siti Zailah juga sebelum ini dilihat menyokong perkahwinan bawah umur, terutamanya dalam perbahasan Parlimen pada Julai 2017.

Memandangkan beliau pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu dan kini beliau merupakan timbalan menteri kementerian tersebut, tidak hairanlah perkara ini menjadi perhatian ramai orang kerana mereka ingin mengetahui pendirian pemimpin PN berkaitan isu ini.

Sudah menjadi tugas dan hak bagi setiap rakyat Malaysia terutama wakil rakyat yang telah dilantik, untuk mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap isu-isu asas. Dalam masa sama, menjadi tugas pihak kerajaan untuk menyediakan jawapan yang jelas.

Sebaliknya, apa yang berlaku adalah Hannah Yeoh telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bukit Aman untuk memberi keterangan bagi siasatan mengenai tweet tersebut.

Perkara ini telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah CID Bukit Aman bahawa Ahli Parlimen Segambut itu kini disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998.

Hannah telah bertindak dalam lingkungan peranannya sebagai ahli Parlimen pembangkang dan bekas timbalan menteri, untuk menyuarakan kebimbangannya yang wajar dijelaskan terhadap rakyat Malaysia.

PDRM harus menghormati hak bersuara rakyat Malaysia dan Ahli Parlimen untuk menyoal dan mengkritik kerajaan tanpa rasa takut. Bukankah ini asas kepada sistem Demokrasi?

Langkah mengheret seorang MP sewenang-wenangnya hanya kerana beliau bertanyakan satu soalan relevan adalah seperti gangguan oleh pihak polis untuk mendiamkan mereka yang mempersoalkan kerajaan dan dasar-dasarnya.

Rakyat Malaysia kini lebih matang dan tidak lagi berdiam diri dengan penyalahgunaan proses oleh mereka yang berkuasa.

Kami bersolidariti bersama Hannah Yeoh. Kami bersolidariti dengan Demokrasi dan hak untuk mempersoalkan mereka yang berkuasa.

______________

Penulis adalah Ahli Parlimen Kulai dari DAP.