Kenapa kita bayar zakat ikut jenis beras ya? Dah lama terfikir benda ini..

Oleh KIM SYAZIE

Zakat fitrah adalah fardhu ain yang perlu dilaksana oleh segenap umat Islam dan wajib dikeluarkan bagi yang mampu tanpa mengira golongan umur.

Pastinya ramai tertanya mengapa zakat fitrah perlu dibayar mengikut jenis beras yang dimakan, di bawah adalah sebabnya.

Bagi mengetahui hukum tersebut, ikuti perkongsian oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bawah ini.

1255: Bayaran Zakat Mengikut Jenis Beras

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Seri, semoga Allah sentiasa merahmati Datuk Seri. Soalan saya, apakah hukum bayar zakat fitrah beras biasa RM7? Tetapi di rumah saya makan nasi basmathi?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini sebaik-baiknya tuan bayar mengikut jenis beras yang dimakan. Justeru, seingatan saya di Wilayah Persekutuan mempunyai tiga tahap atau kadar nilai zakat fitrah.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Negeri Wilayah Persekutuan tahun 2023 / 1444H kepada tiga kadar itu adalah RM7, RM14 dan RM21 yang dipersetujui melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan.

Justeru, sewajarnya bayaran untuk menunaikan zakat fitrah mengikut apa yang kita makan. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abi Sa’id Al-Khudri RA, katanya:

كُنّا نُخْرِجُ زَكاةَ الفِطْرِ صاعًا مِن طَعامٍ، أوْ صاعًا مِن تَمْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami di zaman Rasulullah SAW mengeluarkan (membayar) zakat fitrah satu sa’ dari makanan yang dimakan atau satu sa’ dari kurma..”

Riwayat al-Bukhari (1506)

Begitu juga, kita digalakkan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan kerana ianya merupakan kebajikan bagi golongan yang berkemampuan dan lebihan daripada zakat fitrah tersebut akan disalurkan kepada golongan fakir dan miskin.

Firman Allah SWT:

فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya.”

Surah al Baqarah (184)

Marilah sama-sama kita menunaikan zakat fitrah mengikut dalam waktunya dan mencari yang paling afdhal pada zakat fitrah. Wallahu a’lam.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Baca juga: Pergi bengkel hanya sebab kerosakan brek, wanita terkejut kena caj RM4,700