Malaysia Dateline

Kenapa kita lebih teruk dari Indonesia dan India dalam melawan Covid-19

Kita patut bimbang bahawa kita berada dalam arah yang salah dalam perang melawan wabak Covid-19 memandangkan seminggu selepas mempunyai kerajaan baharu, kita bukan sahaja mencatatkan lebih banyak kes berbanding Indonesia, tetapi kita juga mencatatkan lebih kematian akibat Covid-19 berbanding dengan India.

Indonesia mempunyai lapan kali ganda lebih ramai jumlah penduduk berbanding Malaysia, namun untuk sembilan belas hari berturut-turut, Malaysia mencatatkan lebih banyak kes Covid-19 setiap hari berbanding Indonesia. Semalam, kita mencatatkan 20,396 kes Covid-19 sedangkan Indonesia mencatatkan hanya 5,403 kes — kira-kira satu perempat dari jumlah kes di Malaysia.

Apa yang lagi tidak boleh diterima adalah apabila kita juga mencatatkan lebih banyak kematian akibat Covid-19 berbanding dengan India. India mempunyai 42 kali ganda lebih ramai penduduk berbanding dengan negara kita, tetapi untuk hari kedua, kita mencatatkan lebih banyak kematian akibat Covid-19 berbanding dengan negara tersebut.

Semalam, terdapat 336 kematian akibat Covid-19 di Malaysia, India mencatatkan 218 kematian akibat Covid-19. Sehari sebelumnya, 363 orang di Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19 tetapi jumlah korban harian India adalah 120 orang.

Pada 6 Mei, India mencapai puncak kematian Covid-19 harian apabila 414,422 orang meninggal dunia akibat wabak tersebut pada hari itu. Sekarang, angka ini telah menurun kepada 217 kematian, yang merupakan 0.05% dari kemuncak 414,422 kematian sebelum ini.

Malaysia mencapai puncak kematian Covid-19 harian dengan 393 kematian akibat Covid-19 pada 26 Ogos dan sejak itu kita berada di antara 249 hingga 363 kematian akibat Covid-19 setiap hari, tidak pasti sama ada kita akan mencapai puncak baru atau memulakan penurunan harian kematian akibat Covid19.

Mengapakah pengalaman kita dalam berhadapan dengan Covid-19 ini sebegitu buruk sekali, malah lebih teruk berbanding dengan Indonesia dan India?

Laman web Our World in Data mencatatkan bahawa untuk 4 September 2021, jumlah kes Covid-19 per sejuta penduduk untuk ketiga negara adalah: Indonesia 14,921.08, India 23,674.79 dan Malaysia 55,663.54. Kes harian Covid-19 per sejuta penduduk pula adalah: Indonesia 24.34, India 30.69 dan Malaysia 581.43.

Data untuk kematian akibat Covid-19 per sejuta penduduk juga tidaklah lebih baik. Per sejuta penduduk, Indonesia mencatatkan 490.19 kematian, India 316.15 kematian dan Malaysia 545.61 kematian. Untuk kematian baharu akibat Covid-19 per sejuta penduduk, Indonesia mencatatkan 1.95 kematian, India 0.22 kematian, dan Malaysia 11.04 kematian.

Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin perlu mengadakan pertemuan segera pakar-pakar kesihatan dari sektor kesihatan awam dan swasta untuk mengatasi angka kematian akibat Covid-19 yang tinggi ini, terutamanya kadar kematian di luar hospital (Brought-in-dead atau BID), yang mencecah kemuncak 107 kes daripada 336 kematian semalam.

Semalam adalah hari keempat negara kita mencatatkan kadar BID tiga angka dan perkara ini perlu dihentikan segera.

Khairy telah berjanji untuk bersikap telus dan memberikan data Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang ramai.

Beliau boleh mula dengan memberikan pecahan kadar BID setiap hari mengikut negeri dan mensasarkan kadar BID dalam julat satu angka menjelang seratus hari pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan.
—–
Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 6 September 2021.