Malaysia Dateline

Kenapa kita percaya politikus?

Untuk seketika, mari berlaku jujur terhadap diri sendiri. Kita tidak akan mempercayai seorang pemandu teksi untuk melakukan pembedahan pintasan jantung ke atas kita.

Maka kenapa kita mempercayai seorang menteri yang latarnya hanyalah seorang politikus untuk melakukan kerja paling penting dalam dunia; menguruskan negara dan kelangsungan hidup kita?

Seluruh dunia sedang haru-biru, kucar-kacir. Pandemik Covid-19 sedang menakluk kebebasan dan mengubah kehidupan kita.

Pandemik sedang merosakkan setiap fabrik ekonomi, sosial, dan politik kita. Kemelesetan ekonomi teruk yang akan dihadapi entah berapa hari lagi dari sekarang bakal tidak kalah dengan suasana pasca Perang Dunia dahulu.

Saban hari kita menatalkan jari ke atas ke bawah, menelusuri media sosial, portal berita, dan apa sahaja bentuk sumber yang mampu dicapai oleh telefon pintar untuk mencari jawapan.

Petang dan malam, mata kita tertumpu pula ke kaca televisyen — ciptaan manusia yang hampir hilang fungsi diganti telefon pintar, namun kembali bernyawa sekarang. Melopong sekeluarga mendengar apa lagi yang akan diumum oleh bapak menteri kita. Sekali lagi, untuk mencari jawapan.

Jadi, sekarang waktu yang sesuai sekali untuk kita bertanyakan – kenapa kita percaya kepada bapak menteri dan politikus-politikus ini untuk memberikan kita jawapan, menyusun atur, mengurus dan menyelesaikan permasalahan hidup kita?

Tidak, ini bukan soalan retorik, bukan juga soalan sinikal untuk merendahkan siapa-siapa, jauh sekali pertanyaan mahupun penyataan politik.

Saya sendiri tahi politik. Munafik buat saya untuk mengajukan soalan ini seolah-olah saya tidak bersangkutan. Soalan ini ditanya kerana ia hampir-hampir menjadi soalan wujudiah – persoalan eksistensial buat kita, manusia moden hari ini.

Soalan ini lahir dari naluri aneh kita sebagai anggota masyarakat – kenapa kita percaya kepada orang-orang dalam sut gelap dan bertali leher yang muncul di televisyen ini?

Soalan ini tidak pun perlu jatuh dalam kategori falsafah berat. Ia bukan persoalan yang hanya boleh dirungkai dan dijawab jika kita hebat memahami dan menghafal jargon-jargon politik.

Kita tidak perlu ada PhD mahupun ijazah dalam mana-mana disiplin ilmu untuk bertanya dan cuba merungkai soalan ini. Kitab-kitab politik tulisan nama-nama besar pemikir dan ahli falsafah seperti yang ada di rak buku hiasan bapak menteri kita pun tak diperlukan.
Soalan ini terlalu asas – apa yang ada pada politikus dan bapak menteri kita sehingga kita mempercayai mereka dengan nyawa kita?

Berabad lama, bukan hanya sekarang – kita sebagai spesis manusia mempercayai menteri dan politikus untuk menyusun atur hampir setiap aspek hidup kita. Kepercayaan kita kepada mereka ini datang bersekali dengan kuasa yang amat besar. Dan juga cukai.
Kita mempercayai mereka untuk membuat undang-undang di Parlimen, walaupun hanya beberapa kerat yang ada ilmu perundangan.

Kita mempercayai mereka untuk menjadi menteri alam sekitar, walau mereka langsung tidak punya ilmu dan pemikiran saintifik berkaitan alam sekitar.

Kita mempercayai mereka untuk menjadi menteri komunikasi, walau tidak pernah satu hari pun dalam hidup mereka bekerja dalam bidang berkaitan.

Kita mempercayai mereka untuk menjadi menteri pendidikan, walau tidak pernah sekali pun mereka bincang atau tulis tentang pedagogi untuk anak sekolah.

Kita mempercayai mereka untuk menjadi menteri kesenian, walaupun seni yang mereka tahu hanya nama subjek pendidikan di sekolah.

Kita mempercayai mereka untuk menjadi menteri pertahanan kita, walaupun seumur hidup tidak pernah menyarung sebarang uniform tentera atau mengikuti peperangan.

Apakah kita ini sebagai umat manusia sebenarnya secara kolektif tidak waras? Kita pasti sekali tidak akan mempercayai seorang tukang paip untuk memasak buat kita, atau seorang akauntan untuk mengubah suai rumah kita, mahupun seorang guru Matematik untuk membaiki kasut kita.

Jadi, bagaimana kita boleh mempercayai sekelompok manusia yang rata-rata tidak pernah berkerja seperti orang biasa, tiada pengalaman profesional, tiada ilmu, dan hidup hanya berpolitik; untuk menguruskan negara dan lebih penting lagi, kehidupan kita sendiri?

Jangan disalah ertikan tulisan ini sebagai tulisan antipolitik, tulisan mengajak orang membenci politik, mahupun mengajak orang untuk undi rosak ataupun jeda politik.

Tulisan ini hanyalah sebuah jemputan untuk kita yang berada dalam lapangan politik ini fikirkan bersama.

Bukankah soalan ini terlalu asas dan tidak salah sebenarnya untuk kita tanyakan pada diri sendiri semula; kenapa kita percaya kepada bapak menteri dan politikus?

 

*Sebahagian tulisan ini bakal dijadikan prakata untuk novella Di Belakang Pak Menteri karya Zharif Badrul, terbitan Sanggar Bitara Karang Mengarang.