Malaysia Dateline

Kenapa KPMG Malaysia tidak disaman oleh 1MDB, tanya Tony Pua

Tindakan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International menyaman banyak pihak yang terlibat menghilangkan hartanya disanjung tinggi, namun tidak menyenaraikan KPMG Malaysia yang membuat audit untuk 1MDB dipertikaikan.

MP Damansara, Tony Pua dalam kenyataannya berkata, KPMG telah membuat audit kewangan untuk 1MDB selama 3 tahun bermula Mac 2010 hingga Mac 2012.

Padahal sebelum ini, sebuah lagi syarikat audit, Deloitte Malaysia yang membuat audit 1MDB telah membayar kerajaan RM320 juta kerana gagal menjalankan tugasnya untuk membuat audit dengan baik dari Mac 2013 hingga Mac 2015.

“Kerajaan harus disanjung kerana akhirnya memfailkan saman selepas setahun ‘Langkah Sheraton’ walaupun persiapan untuk telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika 22 bulan pentadbirannya.

“Walau bagaimanapun, walaupun gagal menjalan tugas mengaudit dengan baik, syarikat audit antarabangsa KPMG enggan membuat penyelesaian dengan kerajaan,” kata bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara itu.

1MDB dan subsidiarinya, SRC International Sdn Bhd memfailkan 21 saman ke atas pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, bekas pegawai kanan 1MDB seperti Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Arul Kanda Kandasamy dan Mohd Hazem Abdul Rahman.

Turut dinamakan dalam saman itu adalah Low Taek Jho (Jho Low), ayahnya Tan Sri Larry Low Hock Peng, kakanya May Lin dan rakan rapatnya Eric Tan Kim Loong.