Malaysia Dateline

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat: ‘Kenapa lantik kami dan sekarang nafikan peranan kami semua?’

Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tan Sri Noh Omar membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkaitan tempoh darurat.

Tegasnya, kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu dianggap satu penghinaan kepada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Pengerusinya Umno Selangor itu mempersoalkan mengapa mereka dilantik untuk jawatankuasa tersebut tetapi peranan mereka dinafikan.

Untuk rekod, Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mempunyai 19 keanggotaan termasuk Noh Omar.

“Jika Baginda bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat Kabinet, soalan saya kepada Menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?

“Adakah Menteri merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri mengenai peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021? Saya minta Menteri jelaskan apa sebenarnya peranan kami?

“Mengapa para Menteri Perikatan Nasional suka buat kenyataan yang bercanggah dan ‘flip flop’ yang boleh mengelirukan rakyat? Soalnya di media sosial Facebook, hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tajung Karang berkata, kenyataan bercanggah beberapa Menteri juga kemungkinan disebabkan Parlimen tidak bersidang.

“Saya fikir mungkin kerana Parlimen tidak dibenarkan bersidang maka tidak ada semak dan imbang serta menteri boleh membuat keputusan sesuka hati sahaja.

“Sebelum ini seorang menteri dah tutup pintu depan tapi ada pula menteri lain yang buka pintu belakang akibatnya jumlah mangsa Covid-19 semakin bertambah dan tempoh PKP 3.0 terpaksa disambung lagi dua minggu,” tambahnya.

Terdahulu, Takiyuddin berkata, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Jelasnya, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong Baginda, tidak seharusnya timbul.