Malaysia Dateline

“Kenapa lebih cenderung kepada Mahathir, berbanding Anwar?”

Ahmad Lutfi Othman

Semasa Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri 24 Februari lalu, saya menjangka ia hanya strategi untuk perkukuhkan lagi kedudukannya, selepas kalah moral apabila partinya sendiri, Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Pada hemat saya, Mahathir sepatutnya tidak membuat keputusan sepenting itu bersendirian. Beliau perlu merujuk dan berunding dengan rakan-rakan parti komponen PH terlebih dahulu. Risiko dan impak tindakan nekad Mahathir itu cukup besar dan membabitkan negara seluruhnya. Di peringkat parti, kesannya meliputi jaringan lebih meluas hingga ke peringkat akar umbi, membabitkan ahli-ahli yang baru menyumbang khidmat dalam struktur pentadbiran negara.

Bagaimanapun, keresahan saya agak terubat apabila mengenangkan rekod Mahathir berdepan krisis politik, yang akhirnya menyebelahi beliau. Mahathir digugat Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pada pertengahan 1980-an, namun berjaya melepasinya. Mahathir diancam keputusan rayuan Umno 11 dalam penghakiman pengharaman parti, tetapi aksi beraninya cukup mengejutkan sehingga hakim-hakim dipecat dan Umno (Baru) ditubuhkan. Cabaran Semangat 46 mampu dijinakkan, gerakan Reformasi dan pengaruh Anwar Ibrahim mempersatu pembangkang pada1999 juga tidak mampu menariknya turun daripada takhta.

Sejarah panjang politik Mahathir juga merakamkan beliau berperanan atau kuat mempengaruhi perletakan jawatan dua perdana menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Mahathir sudah pasti diakui umum berjaya menamatkan khidmat Abdullah Ahmad Badawi dan paling akhir, kejayaan tidak terduga mengalahkan Umno-BN Najib Razak dalam pilihan raya aman.

Dr Mahathir bersama pimpinan PH dalam satu sidang media sewaktu PH menerajui pimpinan negara.

Berdasarkan rekod cemerlang tersebut, saya kira Mahathir pasti boleh melepasi rintangan kecil pada akhir Februari 2020 itu. Namun rupanya beliau terperangkap juga; Mahathir di hujung usia kalah kepada anak-anak didiknya sendiri, Muhyuddin Yassin dan Azmin Ali. Mahathir dimalukan (baca dikhianati) oleh pesaing bertaraf “light-weight” selepas beberapa seteru “heavy-weight” berjaya ditumbangkan dengan pukulan KO. Lebih malang apabila Mahathir ditohmah merancang sendiri kegagalannya itu!

Saya lebih cenderung melihat tragedi rampasan kuasa itu difaktorkan oleh strategi silap Mahathir sendiri. Ia juga membayangkan hubungan longgar atau bahasa kasarnya, diselubungi syak wasangka, antara Mahathir dengan pemimpin kanan PH. Atau mungkin lebih tepat, hubungan Mahathir dengan mereka bagaikan ayah dan anak, dibatasi dengan rasa hormat terhadap orang tua, yang ada jurang di antaranya.

Kesilapan besar Mahathir tidak terhenti setakat itu. Apabila Tuanku Agong minta dipersembahkan nama calon perdana menteri, PH (tanpa Bersatu) dan penyokong Mahathir tiada kesepakatan. PKR, DAP dan AMANAH, iaitu sekitar 92 wakil rakyat mencalonkan Anwar menyebabkan Mahathir hanya mendapat 60 sokongan, manakala Umno dan Pas mencadangkan Parlimen dibubar. Memang ada alasan mengapa Mahathir tidak dicalonkan PH tetapi ia juga menyebabkan tiada siapa pun meraih sokongan minimum 112. Justeru, Agong membuka peluang kedua, dan melorong Umno-Pas serta gerombolan pengkhianat “menangkap” peluang terbuka dengan mencalonkan Muhyiddin Yassin.

Umum menyimpulkan keruntuhan kerajaan PH turut disumbangkan oleh kegagalan menguruskan konflik dalaman parti, khususnya PKR dan Bersatu. Isu utama tetap berlegar sekitar polemik tarikh peralihan kuasa perdana menteri. Secara tersirat juga merujuk percaturan Bersatu untuk muncul sebagai parti Melayu paling dominan dalam masa singkat. Hubungan dingin Mahathir-Anwar dijarakkan lagi dengan peranan musuh ketat Anwar yang berada di kiri-kanan Mahathir, iaitu Zahid Mad Arip dan Hamzah Zainuddin.

Ringkas cerita, ada pihak mempersoalkan, apakah gabungan pembangkang hari ini, tidak mengambil iktibar daripada pengalaman singkat yang baru dilaluinya? Ketika melintas potensi dan peluang di depan mata untuk merebut kembali kuasa yang dicuri kumpulan Muhyiddin-Azmin itu, mereka masih gagal mencapai persefahaman. Secara tidak langsung Perikatan Nasional (PN) yang rapuh-longgar itu, masih terus bertahan, dan mungkin semakin kuat atau stabil apabila pertelingkahan dua tokoh besar pembangkang, Mahathir-Anwar, kelihatan tidak menuju titik temu.

Daripada satu sudut, isunya bukan mencari calon PM terbaik; kedua-duanya, Mahathir atau Anwar “terlebih layak” untuk menggantikan Muhyiddin. Kita juga bukan berdepan pilihan raya umum, yang menyerahkan kepada kuasa rakyat untuk membuat pilihan sekali lagi. Persoalan kritikalnya, siapa tokoh yang boleh meraih sokongan minimum 112 undi daripada kalangan ahli Parlimen sementara penyokong setia kedua-dua, Mahathir-Anwar, dianggarkan tidak pun sampai 100 orang.

Melihat perdebatan terbuka media sosial, penyokong masing-masing saling mempertahankan pemimpin kesukaan, di samping cuba memperlekeh saingan. Diungkit segala kisah lama, khususnya kelemahan tertentu. Pastinya Mahathir lebih mudah dijadikan sasaran. Cerita-cerita kegagalan dan “pengkhianatan” Mahathir terhadap Anwar dihidangkan dengan pelbagai versi. Berdasarkan tinjauan rambang, Anwar kelihatan memperolehi lebih banyak sokongan atau sekurang-kurangnya simpati.

Secara peribadi, saya di kelilingi lebih ramai kenalan yang bukan sahaja menyokong penuh Anwar, tetapi secara terbuka “tidak lagi mempercayai” Mahathir. Biasanya mereka akan tinggalkan soalan, “berapa kali kita akan dipatuk ular dari lubang sama?”, atau “belum cukupkah peluang yang mahu diberikan kepada atok 95 tahun?” Saya cuba berhujah secara rasional berdasarkan real politik dan sifir semasa, tapi saya juga dituduh “pengkagum” dan “pemuja” Mahathir! Sedangkan hakikatnya saya cuba membentangkan pilihan terbaik untuk mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 lalu. Apa pun saya tetap berlapang dada; politik sentiasa berbalut sentimen, emosi dan sangkaan. Setiap pihak ada argumen tersendiri, yang diyakininya benar. Kadang-kadang perbalahan sesama sekutu diakhiri dengan tragis: Biar masing-masing melepas! Atau dalam konteks semasa, biar kita sama-sama bertaraf pembangkang berdepan PRU15 nanti, jika Anwar tidak terpilih sebagai PM.

Menurut khabar yang tidak dapat disahkan tetapi seakan diterima ramai khalayak, Mahathir lebih dipercayai berupaya mendapat sokongan mencukupi, khususnya daripada Sabah dan Sarawak. Daripada perspektif ini, kelebihan nampak tidak memihak Anwar. Lebih buruk apabila dilaporkan wakil-wakil rakyat DAP, AMANAH dan Warisan bersedia untuk tidak mencalonkan Presiden PKR itu. Namun, kata sepakat masih diusahakan penyelesaian terbaik. Sekiranya pembangkang berpecah, yang untungnya penyandang, Muhyiddin-Azmin. Lebih malang apabila ada pihak meramalkan mungkin terbentuk pakatan baru di kalangan pembangkang sekiranya perbalahan perdana menteri ini berterusan.

Tentunya ada penyokong Anwar yang terus mempersoalkan kewajaran Mahathir menjadi PM buat kali ketiga: “Jelas, niat buruk Mahathir hanya mahu gagalkan Anwar sebagai PM. Mahathir tak mampu lagi pulihkan negara, apatah lagi dalam masa 6 bulan yang dipintanya. Ini taktik jahatnya agar Anwar terus kempunan.” Bukan rahsia lagi, kumpulan Mahathir-Anwar sejak lama saling tidak mempercayai dan mencurigai. Mahathir pula kerap menyampaikan mesej yang tidak menyenangkan penyokong Anwar.

Tulisan saya ini mungkin mengundang persepsi tidak menyebelahi Anwar walhal saya berniat untuk mencari titik-temu agar kerajaan pintu belakang ini dapat direbut kembali secepat mungkin. Saya mencari figura yang dilihat lebih mampu meraih cukup sokongan untuk bentuk kerajaan. Memang imiginasi saya lebih tertarik dengan personaliti Anwar dan gagasan reformasinya. Sosok Anwar menyuntik harapan perubahan berbanding Mahathir. Cuma buat masa ini, Anwar dilihat bermasalah untuk memperolehi “cukup bilang” bagi memungkinkan kerajaan bertukar. Dan saya masih percaya, selain memartabatkan kembali mandat rakyat, regim Umno mesti dihalang daripada menjadi pemerintah di waktu Parlimen dibubarkan.

BERSAMBUNG