Malaysia Dateline

Kenapa MB Kedah ‘naik angin’ isu konsultan minta yuran daripada kontraktor?

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikatakan ‘naik angin’ apabila isu konsultan minta yuran daripada kontraktor dibangkitkan di sidang DUN Kedah baru-baru ini.

Beliau tiba-tiba ‘naik angin’ selepas isu yuran perunding kepada kontraktor dibangkitkan oleh ADUN Kota Siputeh yang Dr Salmee Said.

Difahamkan terdapat dakwaan konsultan didakwa meminta wang RM4 juta bagi pembinaan asrama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil.

Kontraktor terbabit juga telah menghubungi Dr Salmee sebulan yang lalu bagi memaklumkan mengenai dakwaan tersebut dan meminta ianya dibangkitkan dalam sidang Dun kerana ia turut melibatkan kepentingan rakyat.

Kenapa MB Kedah 'naik angin' isu konsultan minta yuran daripada kontraktor?
ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris

ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris hairan mengapa menteri besar tiba-tiba melenting apabila terdapat pendedahan ini di sidang DUN.

“Kami tidak pernah berhasrat untuk memfitnah mana-mana pihak. Apa yang kami mahukan ialah penjelasan yang sewajarnya dari kerajaan berhubung isu pendedahan mengejut konsultan universiti meminta ‘consultant fees’ atau yuran perunding daripada kontraktor.

“Soalan tersebut telah pun dibangkitkan dalam sidang Dun Kedah oleh Dr Salmee Said baru-baru ini, sebaliknya MB secara tiba-tiba naik angin serta menempelak beliau dengan pernyataan fitnah.

” Apa yang kami mahukan ialah memohon penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai dakwaan kontraktor terbabit dan kami bersedia pada bila-bila masa dengan keperluan untuk memberikan kenyataan di Mahkamah sekiranya dipanggil,” ujar beliau melalui laman Facebooknya.

Dewan Undangan Negeri adalah tempat ADUN berbahas, berhujah dan melakukan ‘check n balance’. Hujah di balas hujah, pertanyaan di balas jawapan.

Namun sikap tidak profesional MB Kedah amat dikesali, melenting apabila diaju dengan pertanyaan yang sensitif.

Ini bukan pertama kali tapi sudah banyak kali MB Kedah bersikap begini.