Malaysia Dateline

“Kenapa menteri dan timbalan menteri jadi begitu?”

“Apa Lagi Yang Bapa Mahu?” teater terbaru karya Dinsman, dipentaskan di Indonesia pada 15 Disember lalu.

Kalau saya mengambil pendekatan berkecuali dan memerhati sahaja, mungkin saya akan ‘enjoy’/seronok memerhati apa yang sedang berlaku sekarang. Luar biasa! Sangat beruntung kita berkesempatan hadir dan menyaksikan peristiwa-peristiwa aneh dan luar biasa yang mungkin tidak kedapatan di mana-mana pun di dunia ini, selain di sini.

Ya, itu memang sesuatu yang diakui dan diiktiraf. Ia suatu fakta dan menjadi rekod dunia, dengan sendirinya. Tak ada ketua negara di mana-mana pun negara di dunia hari ini yang usianya seperti ketua negara kita, maksud saya PM. Usianya adalah usia atuk tua yang biasanya hanya duduk berehat sahaja di rumah, atau di mana-mana sahaja di dunia ini yang dia boleh berehat dan menikmati hidupnya yang sudah berada di hujung itu; kerana dia punya banyak wang – dikatakan antara yang terkaya di dunia.

Tetapi berbeza dengan atuk kita ini. Dia hanya berehat sekejap sahaja selepas dia melepaskan jawatan PM itu dulu, kerana sebab-sebab tertentu yang dia perlu melepaskannya, dan tak lama kemudian dia ternampak peluang terbuka untuk dia kembali ke kerusi kuasa itu, dan akhirnya dia pun melakukan sedikit usaha dan akhirnya dia berjaya kembali menduduki kerusi kuasa itu.

Saya memang heran, dan pelik, bagaimana itu mungkin terjadi! Dan saya telah menulis banyak, mencatatkan fikiran dan keheranan saya itu – dalam puisi, esei, catatan di fesbuk dan dalam skrip teater. (Telah dipentaskan di Pekanbaru, Indonesia, baru-baru ini. Saya sendiri berlakon. Dan bercadang hendak mementaskannya di Malaysia, pada bila-bila masa sahaja apabila ada pihak yang membiayainya.)

Ramai aktivis Reformasi 1998 dilihat telah melupakan idealisme perjuangan selepas menjadi anggota pentadbiran kerajaan PH.

Memerhati apa yang berlaku itu, daripada sejak atuk itu menunjukkan minatnya untuk “membantu” perjuangan Reformasi yang waktu itu berusaha bagi menjatuhkan PM yang dikatakan mencuri dan merompak harta rakyat serta menjual harta negara itu, memang agak menarik kepada saya, kerana kebetulan dia itu memang pernah menjadi idola saya suatu waktu dulu dan saya pun telah banyak menulis mengenai dia.

Ternyata dia memang bukan manusia yang biasa-biasa. Dia manusia yang sangat luar biasa. Maka kewujudannya selalu memberi inspirasi kepada saya untuk berkarya. Kebetulan pula saya pun ada menjalin hubungan peribadi yang agak menarik juga dengan dia. Dia pernah datang menonton teater saya dan saya pun pernah hadir menonton teater bersama dengan dia dan keluarganya, iaitu persembahan dari luar negara yang datang bermain di sini, dan dia menjemput saya menonton bersama dua orang lagi tokoh budaya, dan beberapa peristiwa lagi.

Tidak ada orang lain yang pernah memberi saya inspirasi berkarya seperti dia. Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Noor juga idola saya, maksudnya saya mengkagumi peribadi dan kepemimpinan mereka dan saya mempunyai hubungan peribadi yang istimewa juga dengan mereka, tetapi mereka tidak menginspirasi saya sepertimana atuk ini.

Pendek kata, dia memang manusia luarbiasa, dan keluarbiasaannya itu sentiasa hidup dan aktif, tidak pernah berhenti atau berehat, walaupun umur telah mencapai 94 tahun. Sekarang ini pun dia masih menginspirasikan saya. Makanya seperti saya katakan di awal tulisan ini: “Kalau saya mengambil pendekatan berkecuali dan memerhati sahaja, mungkin saya akan ‘enjoy’/seronok memerhati apa yang sedang berlaku sekarang.”

Memerhati bagaimana seorang tokoh luar biasa sedang memanipulasi atau mengatur perancangan dan strateginya yang licik dan halus itu sehingga orang tidak dapat membaca ke mana arah sebenar yang sedang ditujuinya; dan semua musuh-musuh politiknya yang dulu pernah berjuang untuk menjatuhkannya kini semua menjadi penyokong-penyokongnya.

Bukan sahaja itu. Kita juga dapat melihat bagaimana tokoh-tokoh politik yang suatu waktu dulu begitu garang dan gagah berani mengecamnya, membencinya, memarahinya dan menolaknya dengan menyifatkan dia itu Mahazalim dan Mahafiraun, kini semua menjadi “sahabat-sahabat baik” dia dan membiarkan saja dia mengatur kuasanya sesuka hatinya walaupun itu adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip perjuangan mereka yang berlandaskan keagamaan.

“Kalau saya mengambil pendekatan berkecuali dan memerhati sahaja” apa-apa yang berlaku, saya mungkin boleh menghasilkan banyak lagi karya-karya puisi, teater, esei dan buku politik, malah mungkin menghasilkan filem yang boleh menarik minat penonton-penonton antarabangsa.

“Kalau saya mengambil pendekatan berkecuali dan memerhati sahaja”! Tetapi masalahnya saya tak mungkin mengambil pendekatan seperti itu. Saya masih lagi percaya dan yakin dengan dasar dan prinsip perjuangan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang memperjuangkan ‘Tekad Budaya’ dan ‘prinsip berkata benar’; yang suatu waktu dulu berkongsi dan sama-sama bergerak dan ‘berucap’ di atas pentas yang sama; berkumpul berdemonstrasi di padang dan jalanraya yang sama; menghidu gas pemedih mata dan penyesak nafas yang sama; dan dikejar belantan polis FRU yang sama, dengan para menteri dan timbalan menteri PH yang sekarang sudah lembut suara dan sikap mereka dan sudah akur sahaja dengan kehendak atuk yang luar biasa itu.

Dan oleh kerana itu maka saya dan kawan-kawan seperjuangan dalam Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) kini menjadi sangat peka/sensitif dengan perubahan yang sedang berlaku di kalangan menteri dan timbalan menteri yang pernah menjadi rakan seperjuangan dalam gerakan Reformasi 1998-2017 itu.

Maka kami bukan sahaja memerhati gelagat si atuk yang luarbiasa pintar dan licik itu tetapi kami juga memerhati gelagat menteri dan timbalan menteri yang sudah berubah menjadi manusia-manusia yang dulunya dikutuki dan dibelasah oleh mereka sendiri kerana lebih mengutamakan diri dan mulai mengabaikan idealisme perjuangan keagamaan dan kerakyatan.

Malah sebenarnya kami tidaklah hairan dan pelik sangat memerhati gelagat atuk yang masih leka bermain dengan kuasa itu, walau usia sudah 94, kerana itu memanglah sudah sebati dengan keperibadiannya.

Yang kami hairan dan pelik sekarang ialah gelagat para rakan-rakan seperjuangan kami dulu yang kini berjawatan menteri dan timbalan menteri, yang seperti yang disebut tadi itu.

Memanglah ada pengecualiannya. Masih ada yang kuat berpegang kepada idealisme perjuangan Reformasi itu. Tetapi tinggal berapa orang sahaja lagi? Dan hal ini amat membimbangkan kami.

PAKSI sudah seperti kembali kepada zaman Reformasi 1998-2017 dulu pula! Seperti terpinggir dan kehilangan kawan-kawan, dan kembali sukar untuk beraktiviti seni-budaya seperti dulu lagi; sukar untuk mendapat sokongan daripada pihak yang berkuasa. Tidakkah ini pelik?