Kenapa MT tidak gantung Anifah? soal Shafie pada Musa

Kenapa MT tidak gantung Anifah? soal Shafie pada Musa

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan tindakan pemimpin parti utama di Sabah yang sebelum ini dakwanya pernah sepentas dengan pemimpin parti pembangkang di negeri itu, tetapi tidak diambil tindakan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Kimanis  Datuk Seri Anifah Aman pernah sepentas dengan tiga pemimpin pembangkang di Sabah.

Tiga pemimpin parti pembangkang dimaksudkan Shafie itu ialah Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Li; Datuk Dr Jeffrey Kitingan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan;Ansari Abdullah, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran.

Shafie mendakwa sebab penggantungannya di buat oleh MT Umno kerana Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah,Datuk Seri Musa Aman yang juga ahli majlis tertinggi parti, menyatakan tindakan perlu diambil ke atas Shafie kerana didapati sepentas dengan pemimpin parti pembangkang dalam gerakan Deklarasi Rakyat.

“Saya tidak ditanya dalam mesyuarat, tidak berani tanya saya. Bila saya tidak ada mereka gantung saya tanpa siasat.

“Yang saya kesal… saya kena gantung, seperti yang diceritakan orang sakit digantung, susah mahu makan susah mahu bernafas,tidak disoal, tidak dipanggil saya.

“Anifah, kenapa tidak digantung? Beliau bersekali dengan Jeffrey Kitingan, Yong Teck Li dan Ansari Abdullah. Kononnya mereka perjuangkan hak Sabah.

Shafie mendakwa sebab penggantungannya di buat oleh MT Umno kerana Datuk Seri Musa Aman tuduh beliau sepentas dengan pembangkang“Kenapa Musa tidak suarakan dalam mesyuarat MT?

“Ketua Menteri Sarawak Adenan Satim (Tan Sri) menyuarakan kuasa otonomi orang Sarawak, tidak campur tangan dengan DAP, tidak bersekongkol dengan PKR dan tidak sekali-kali duduk semeja dengan parti pembangkang, Adenan berani menyuarakan hak dan ekonomi bangsanya.

“Sebelum ini saya tidak pernah naik pentas dengan pembangkang, sekarang saya baru nak naik pentas dengan pembangkang,” ujarnya.

Beliau bercakap dihadapan 3,000 penyokongnya pada satu Majlis Santai Aidilfitri yang diadakan di Kampung Brunei,Membakut semalam.

Justeru katanya, beliau mahu semangat Sabahan di negeri itu digerakkan semula untuk menuntut kuasa otonomi.

“Saya tuntut semangat Sabahan tetapi bukan bererti membenci Semenanjung. Kita hanya tuntut kuasa untuk Sabahan demi kemajuan luar bandar dan bandar bukan mahu bawa Sabah keluar dari Malaysia. Saya mahu mengubah langskap politik Sabahan,” ujarnya.

Shafie dalam ucapannya di Membakut masih lagi merahsiakan bila masanya yang sesuai untuk mengumumkan nama parti baharunya.

“Tunggulah… when the time is right (bila tiba masanya nanti),” katanya.

Shafie kini dalam siri jelajahnya di 25 bahagian di Sabah selepas beliau membuat keputusan keluar Umno pada 4 Julai lalu. 

Semalam sejumlah 2,000 ahli cawangan Umno Bahagian Kimanis mengisytiharkan keluar parti yang diwakili oleh Ketua Cawangan Bongawan dan Ketua Cawangan Kampung Lubang Batu Manahan.

Ini bermakna 4 bahagian (Semporna, Batu Sapi, Tenom dan Kimanis) daripada 25 bahagian di negeri bawah bayu itu menyatakan pendirian mereka secara terbuka untuk keluar Umno dan menyatakan sokongan kepada parti baharu yang akan ditubuhkan Shafie kelak.