Malaysia Dateline

Kenapa Najib, Zahid ponteng Parlimen semalam timbulkan tanda tanya

Kegagalan dua pemimpin Umno kontroversi, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi hadir dalam sidang Parlimen semalam menimbulkan tanda tanya wakil rakyat lain.

“Kenapa @DrZahidHamidi @NajibRazak ponteng Parlimen hari ini?” soal Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi ciapan di Twitter petang semalam.

Kedua-dua pemimpin Umno itu masing-masing Ahli Parlimen Pekan dan Bagan Datuk antara sejumlah wakil rakyat daripada parti tersebut yang tidak hadir ke sidang Parlimen semalam.

Sementara itu, buat kali pertama dalam sejarah, blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi di Dewan Rakyat semalam berhubung usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Susulan itu, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Kenapa Najib, Zahid ponteng Parlimen semalam timbulkan tanda tanya
Buat kali pertama dalam sejarah, blok pembangkang menang undi dalam Parlimen.