Malaysia Dateline

Kenapa nak takut DAP, batal sahaja pendaftaran, lumpuhlah dia

Parti DAP sama sekali tidak mampu menghancurkan Melayu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, dengan hanya membatalkan pendaftaran DAP, maka lumpuhlah parti itu.

Jelasnya, perkara tersebut boleh dilakukan sebagaimana usaha kerajaan pernah mematahkan cubaan Parti Komunis Malaya (PKM) yang pada satu ketika mahu merampas kuasa persekutuan.

“Sebenarnya DAP tak mampu hancurkan Melayu. Menteri dalam negeri pada masa itu, sebelum jadi Perdana Menteri, tahu dan sedar bahawa dengan hanya membatalkan pendaftaran DAP, akan lumpuh dan hilanglah DAP.

“Cancel sahaja dia punya pendaftaran, habislah dia.

“Ini juga kita lakukan kepada PKM sehingga mereka hentikan percubaan untuk merampas kuasa kerajaan Malaysia. DAP pun tak sekuat PKM dan tak mungkin DAP berjaya,” katanya dalam ucapan perbahasan Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, dakwaan yang mengaitkan dengan kehancuran orang Melayu itu hanyalah perancangan dicipta Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) agar dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Malangnya kata Mahathir, ahlinya sendiri termasuk Presiden Bersatu termakan dengan momokan yang sengaja mahu menakut-nakutkan orang Melayu.

“Pembohongan ini berjaya mempengaruhi Presiden dan beberapa pemimpin Bersatu yang buat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH). Dengan ini saya pun terkeluar dari jadi Perdana Menteri PH,” Katanya lagi.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meneruskan amalan menukar ahli Profesional dengan lantikan pemimpin politik.

Katanya, ahli-ahli Profesional yang dilantik sewaktu zaman pentadbiran Pakatan Harapan perlu diteruskan oleh kerana dakwanya, jawatan yang diberikan kepada ahli politik hanyalah sebagai hadiah kerana menyokong kerajaan.

“Semua masalah ini mengancam ekonomi negara. Di waktu ini ada pihak merancang merebut kuasa dan mengkhianati pilihan rakyat melalui pintu belakang.

“Dengan ini politik negara jadi kucar kacir. Saya sedih kerana perancangan ini melibatkan parti saya. Parti yang ditubuh khusus untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat Najib Razak,” ujarnya.