Malaysia Dateline

Kenapa Pas tidak berhasrat bentuk kerajaan perpaduan di Kelantan, Terengganu?

Isu pemilihan Speaker Dun Kedah terus menjadi hangat bila Pas meminta untuk berunding supaya jawatan tersebut diserahkan kepada Pas sementara Pakatan Harapan (PH) menolak hasrat Pas tersebut sebaliknya, PH meminta semua pihak menerima calon Speaker dari PH.

Pas begitu ghairah mahukan jawatan speaker Dun Kedah untuk membolehkan wujudnya kerajaan perpaduan tanpa pembangkang di Kedah.

Apa yang menghairankan ialah Pas tidak pula berhasrat mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang di negeri yang diperintah oleh Pas seperti di Kelantan dan Terangganu.

Demikian kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Haji Mahfuz Omar dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata beliau, alasannya kedudukan kerusi yang dimenangi PH sama banyak dengan jumlah kerusi yang dimenangi Pas dan Barisan Nasional (BN) iaitu 18-18.

“Cukup pelik bila kerusi sama banyak Pas nak kerajaan perpaduan tapi bila kerusi Pas majorati seperti Kelantan dan Terangganu tak kebuloq pulak Pas nak ajak bentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.

“Nampaknya perpaduan yang dianjurkan Islam di bawa Pas hari ini ialah perpaduan untuk tempatkan Pas dalam politik kuasa.

“Tapi bila Pas berkuasa penuh seperti di Kelantan dan Terengganu tak berbunyi pulak tawaran bina kerajaan perpaduan kepada pembangkang di sana.Tak tahu la pulak ada ajaran Islam yang Pas diutamakan dan didahulukan,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Kata Mahfuz lagi, rakyat boleh melihat kegilaan Pas untuk berkuasa.

Sebelum ini di Selangor tambah beliau, Pas tetap berada dalam kerajan negeri Selangor bawah Pakatan Rakyat walaupun sudah memutuskan hubungan kerjasama politik (tahaluf siasi) dengan PKR dan DAP yang dianggap Pas sebagai musuh menentang agenda Islam.

Tetapi kata beliau, Pas tetap berada dalam kerajaan di bawah kepimpinan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang diisytihar Pas sebagai parti yang menentang agenda Islam yang di bawa Pas.

“Agaknya masa tu Pas berpegang pada pendapat mazhab baru perpaduan dan gila kuasa berpisah tiada.

“Tak salah nak calonkan Speaker dari Pas tapi jangan berlindung di sebalik slogan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.

“Rakyat nak termuntah mendengar slogan tersebut. Masa sebelum PRU14 PH ajak mai bersama dalam PH tak mau. Pasai ada parti pengkianat, menentang agenda Islam dan segala macam alasan menolak pelawaan PH.

“Sekarang nak ajak pula bentuk kerajaan perpaduan di Kedah dengan PH yang ada pengkianat, menentang agenda Islam dan bagai,” kata beliau lagi.

Ujar beliau, ahli Pas boleh menilai sikap pimpinan Pas mereka yang melarang ahli Pas menerima apa-apa jawatan lantikan politik jika ditawar oleh kerajaan PH tapi mereka menawar diri untuk bentuk kerajaan perpaduan memerintah bersama PH dan pegang jawatan speaker.