Malaysia Dateline

Mohamad Sabu konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan

Kenapa RCI 1MDB didiamkan, soal Mat Sabu

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) paling wajar ditubuhkan, tegas Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Menurutnya, isu berkaitan syarikat pelaburan negara sarat hutang itu tidak harus didiamkan memandangkan telah menjejaskan nama baik Malaysia.

“Apa-apa pun termasuk RCI 1MDB. Kenapa didiamkan? Itu paling besar. Malu pada dunia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan kali kedua di ibu negara hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya pemberita berkenaan desakan Pas supaya RCI berkaitan peristiwa berdarah Memali di Baling, Kedah pada tahun 1985 ditubuhkan.

“Tiada masalah (ditubuhkan),” jawabnya ringkas sambil berkata hal tersebut bagaimanapun tidak bererti AMANAH menyokong Pas.

Berhubung keperluan Tun Mahathir untuk memohon maaf ekoran tragedi yang mengorbankan 14 orang awam dan empat anggota polis itu, Mohamad berkata, hal tersebut terpulang kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu bagaimanapun tidak dapat memberikan pandangan lanjut bagi pihak Tun Mahathir.

Beliau menyifatkan insiden Memali sengaja dimainkan setiap kali menghampiri pilihan raya serta ketika berlaku peristiwa tertentu sebelum kemudiannya lenyap begitu sahaja.

“Ini polemik pilihan raya. Bila Tengku Razaleigh Hamzah tubuhkan Semangat 46 (Parti Melayu Semangat 46 pada 1988), isu ini dimainkan, selepas itu diam.

“Terserah kepada dia (Mahathir). Dia orang yang bijak,” ujar Mohamad lagi yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli dalam sidang media sama menambah, isu lain turut dibangkitkan kembali ekoran penglibatan Mahathir di pihak Pakatan Harapan.

‘Isu (kumpulan) al-Maunah (pada 2000) ditimbulkan, (sebab) berkaitan Tun Mahathir. Itulah menunjukkan betapa gerunnya mereka (Umno-BN) kepada Tun Mahathir,” ujarnya.