Kenapa saya dilarang keluar negara?

Malam 3 Disember 2015 jam 10:46 saya Hishamuddin Rais warga negara Malaysia telah dilarang meneruskan perjalanan saya melalui kapal terbang ke Seoul Korea Selatan.

Pihak imigrisen lapangan terbang KLIA telah melarang saya dari menaiki pesawat MAS 0066 menuju ke Incheon Seoul Korea Selatan

Kenapa saya dilarang adalah pertanyaan saya kepada pihak berwajib Malaysia.

Yang dilarang ialah Hishamuddin Rais. Yang melarang ialah pihak Imigrisen. Maka soalan kenapa saya dilarang wajib ditujukan kepada pihak yang melarang bukan kepada saya yang kena larang.

Saya dijemput ke Korea Selatan  melalui Forum Asia yang beribu pejabat  di Bangkok. Jemputan ini datang dari People Solidarity for Participatory Democracy (PSPD) Korea.

Tujuan jemputan ini ialah untuk menjadi PEMERHATI  kepada satu Perhimpunan  Rakyat  di Seoul City Plaza jam 3 petang pada 5 Disember 2015. Perhimpunan ini terdiri dari kaum tani, kaum buruh, Ngo, pelajar, seniman dan para demokrat Korea Selatan.

Bersama saya ada dua lagi sosok yang  juga dijemput untuk  bersama menjadi PEMERHATI.

Mereka ialah : Chiranuch Premchaiporn ( Excutive Director , Prachatai Thailand)

Pimsiri Mook Petchnamrob ( East asia Programme Officer, Asia Forum for Human Rights and Development)i

Kami  dijemput sebagai PEMERHATI untuk memastikan perhimpuanan di City Plaza pada 5 Disember  berjalan dengan aman damai.

Selain dari menjadi PEMERHATI  pada 7/8 Disember kami  juga telah dijadualkan untuk bertemu dengan Agensi Polis Nasional Korea. Surat telah dihantar kepada Commissioner General Kang Sin-myeong untuk pertemuan tersebut.

Pertemuan juga telah diatur untuk membolehkan kami  bertemu dengan National Human Rights Commision of Korea – Chairperson, Lee Sung-ho.

Saya juga dijadualkan akan bertemu beberapa orang  ahli parlimen, NGO, kesatuan Peguam dan kumpulan seniman.

Sebelum pulang ke Malaysia pada pagi 10 Disember satu sidang akhbar oleh PEMERHATI  telah dijadualkan.

Justeru apa yang saya lakukan  ialah membantu memperkukuhkan ruang demokrasi di Korea Selatan. .Apa yang saya cuba lakukan ialah membantu perkembangan penghormatan hak asasi antara kita sesama manusia.

Untuk itu saya ulangi pertanyaan ini sekali lagi: Kenapa saya dilarang meninggalkan Malaysia?

CATEGORIES