Kenapa saya kekal dalam Umno

Kenapa saya kekal dalam Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Saya telah dipilih dalam pemilihan parti sebagai Timbalan Presiden. Jadi orang nombor dua dalam parti. Saya pasti tahu bahawa ahli-ahli parti berharap saya menjalankan tugas termasuk memastikan parti berada dalam landasan yang betul.

Apabila Presiden parti terbabit dalam skandal yang saya percaya menjejaskan imej dan perjuangan parti maka saya menegur Presiden. Saya fikir itu juga harapan seluruh ahli Umno untuk menunjukkan saya mempunyai suatu amanah dan kewajipan untuk memperbetulkan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang berlaku terutamanya yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti.

Saya akan kekal dalam Umno. Sebenarnya isu saya kekal atau tidak kekal tidak berbangkit. Saya tidak bercerita sama ada saya hendak keluar Umno.

Saya telah menjadi ahli Umno sejak tahun 1970. Saya jadi ahli Umno bukan kerana sesiapapun. Jauh sekali kerana Datuk Seri Najib. Saya jadi ahli Umno kerana saya percaya parti saya ini parti yang baik, yang boleh perjuangkan nasib masa depan negara kita – agama, bangsa dan negara – sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Umno dengan objektif dan matlamat Umno tertubuh dan ditubuhkan.

Saya tidak fikir menyertai Umno adalah satu kesilapan besar yang saya buat dalam sejarah politik saya. Kerana saya lihat daripada tarikh itu sampai ke pringkat yang mutakhir ini banyak perkara-perkara yang telah dilakukan (oleh Umno) yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Pastinya Umno tidak bersalah dalam hal ini.

Oleh sebab itu, apabila diuar-uarkan tentang kedudukan saya ini, saya meminta pandangan rakan-rakan dan sahabat-sahabat dalam politik, pimpinan Bahagian Pagoh dan keluarga saya. Mereka berharap sewajarnyalah saya kekal dalam Umno. Itu adalah sebahagian daripada darah daging saya.

Saya percaya selepas saya menghadapi masalah (dengan Presiden) dan dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri atas dasar prinsip saya hendak membela rakyat, menegakkan kebenaran dan keadilan itulah maka ramai yang menyokong saya sama ada mereka itu Melayu, Cina, India, Islam, bukan Islam, tua dan muda semuanya menyatakan sokongan penuh kepada saya.

Mereka tidak pernah bertanya sama ada saya Umno atau tidak. Mereka tahu saya Umno. Mereka menyokong saya atas dasar perjuangan yang saya tegakkan, menyuarakan yang hak dan kebenaran, menentang kebatilan dan kemungkaran. Itu yang saya lakukan.

Bagi saya, masih ada amanah yang perlu saya pikul. Saya dipilih dalam Perhimpunan Agung. Adakah wajar saya meninggalkan jawatan saya selepas saya dipilih oleh orang yang mempercayai saya. Saya juga dipilih sebagai Ketua Bahagian Pagoh berkali-kali tanpa bertanding. Ada 20,000 ahli Umno di Pagoh. Adakah saya harus hampakan harapan mereka hanya kerana saya ada sebab-sebab peribadi.

Rakan-rakan seperjuangan saya juga berpandangan yang sama. Walaupun ramai yang bertanya kenapa saya masih kekal dalam Umno? Umno sudah rosak. Umno dikepalai oleh pemimpin yang korup. Umno melakukan sesuatu yang tidak baik.

Umno tidak bersalah. Yang bersalah ialah orang-orang Umno yang melakukan kesalahan dan kemungkaran. Sebab itu saya fikir lebih wajar saya berada dalam Umno untuk memerangi kemungkaran dan memperbaikinya kalau boleh dari dalam.

Sebagai ahli Umno saya masih ada hak. Sebagai rakyat biasa pun saya ada hak untuk menegur Perdana Menteri.

* Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media khas, 3 Mac 2016.

CATEGORIES