Malaysia Dateline

Kenapa sekarang ulama Pas berkata, “tanya hudud, suara syaitan”

Tindakan pemimpin Pas yang tidak lagi membenarkan ahli-ahli mereka bertanya tentang hudud, bahkan menyifatkan ianya suara syaitan dikesali oleh pelbagai pihak terutama bekas pemimpin parti itu.

Ini berikutan peringatan yang diberikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Hassan Mohamood meminta agar ahli dan penyokong Pas agar jangan melayan mereka yang bertanya bila hudud hendak dilaksanakan kerana ianya suara dari syaitan.

“Jangan terpengaruh dengan suara-suara sumbang, atau dalam bahasa kasar, ‘suara syaitan’. Bila nak buat hudud? Ini jangan tanya (pelaksanaan hudud). Kita kena tanya apa yang patut kita buat sekarang?

“Agama asas, kerajaan pengawal dan kita baru ada pengawal (kerajaan). Kerajaan… kerajaan ini (ibarat) pagar. Jadi, sekarang kita kena buat apa? Kena kukuhkan pagar (kerajaan),” katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-66, Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini pada Ahad.

Ekoran itu, pelbagai sindiran dan serangan dihalakan ke atas Pas berikutan pendirian baru parti itu.

“Dulu itulah kononnya nyawa mereka. Sekarang tanya pun tak boleh. Bengong sungguh,” kata Jamzuri Ardani aktivis AMANAH di Selangor yang sebelum ini adalah pemimpin Pas di negeri itu.

Bekas Adun Pas di Perlis, Zolkharnain Abidin pula berkata, perkara ini sudah lama dinyatakan oleh mereka ketika bersama dengan Pas dahulu.

“Lama dah kami bercakap soal hudud bukan keutamaan pada ketika itu dan ketika ini.
“Apabila kami bercakap begitu, kamu kata kepada kami:

1. Utamakan akal dan ketepikan nas.
2. Utamakan maslahah dunia dan tolak maslahah akhirat.
3. Syariah lebih utama atau maqasid syariah lebih utama?
4. Macam mana nak dapat maqasid kalau ketepi syariah?
5. Itu rahmatan lil kafirin bukan rahmatan lil alamin.”

“Hari ini ulama parti kamu, parti cap agama larang bertanya tentang pelaksanaan hudud. Kalau tanya juga, itu suara syaitan. Amboi…!” kata Zulkharnain lagi.

Sebelum ini, katanya, pemimpin tertinggi Pas berkata macam-macam apabila mereka bukan kerajaan.

“Dulu kamu kata:

1. Hanya hudud boleh kekang jenayah.
2. Hudud yg bawa berkat lalu kamu baca hadith kelebihan laksana hudud.
3. Negara ini rosak kerana ketepi hukum Allah.

“Hari ini nak tanya pasal hudud pun tak boleh,” soal bekas Adun Pas Santan, Perlis itu.