Malaysia Dateline

‘Kenapa syarikat besar tidak melabur jika pelaburan itu terlampau bagus?’ – Perunding kewangan nasihat orang ramai lebih waspada

“Kalau pelaburan yang kita dengar itu terlampau bagus dan mempunyai keuntungan berganda-ganda, kenapa institusi atau syarikat-syarikat besar tidak melabur?”

Itu persoalan kritis yang dilontarkan perunding kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad dalam mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dalam usaha menjana pendapatan termasuk dalam aspek pelaburan.

Menurutnya, masyarakat boleh memastikan sama ada sesuatu pelaburan berlesen atau tidak melalui senarai Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Semakan itu jelasnya, bagi mengelakkan diri daripada tertipu dengan pelaburan-pelaburan yang tidak berlesen memandangkan BNM mempunyai senarai pelaburan-pelaburan yang berdaftar.

“Pelaburan yang kedengaran terlampau bagus ini kalau boleh perlu lebih berhati-hati,” dipetik Sinar Harian.

Dalam masa sama, beliau yang juga pensyarah UiTM Seri Iskandar berkata, orang ramai juga perlu mempunyai rancangan keluar sebelum memasuki sebarang pelaburan.

“Sebelum kita hendak melabur atau beli emas, hartanah, saham, matawang kripto dan sebagainya, kita kena tahu dalam hidup kita ini, bila kita perlu keluar dari instrumen pelaburan ini,” ujarnya lagi.

Baca juga Masalah duit tidak semestinya selesai dengan duit, ini 5 tips kekal tenang walau duit tinggal 10 sen

Baca juga Dua remaja lari dalam keadaan telanjang bulat, selamatkan diri selepas tempat maksiat diserbu