Malaysia Dateline

“Kenapa tak guna RM155 juta bina stesen bas Kota Bharu umpama kandang lembu itu?”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee mempersoalkan peruntukan tambang percuma RM155 juta tidak digunakan contohnya untuk membina stesen bas di Kota Bharu bagi menggantikan yang sedia ada umpama kandang lembu.

Katanya, peruntukan ini adalah lebih lebih efisien digunakan untuk menyediakan dan baik pulih pengangkutan awam yang rosak yang akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat negara ini.

“RM155 juta boleh sahaja dilaburkan bagi menaik taraf perkhidmatan bas di kawasan luar bandar, sama ada untuk membekalkan kenderaan bas yang baharu atau menyediakan stesen atau hentian bas yang lengkap dan selesa.

“Sebagai contoh, kenapa tidak ia digunakan bagi membina stesen bas di Kota Baharu bagi menggantikan stesen bas sedia ada yang sebelum ini tular kerana seperti kandang lembu?” soal beliau.

Howard berkata, kerajaan juga sewajarnya menggunakan peruntukan tersebut untuk meningkatkan kemudahan akses pengangkutan awam kepada golongan OKU yang masih terhad.

"Kenapa tak guna RM155 juta bina stesen bas Kota Bharu umpama kandang lembu itu?"
Howard Lee

“Tawaran tambang percuma sebulan dikhabarkan turut meliputi perkhidmatan KTM Komuter, tetapi realitinya kebanyakan stesen KTM Komuter tidak dilengkapi kemudahan seperti eskalator atau lif yang boleh membantu pergerakan golongan OKU bagi menggunakan pengangkutan tersebut.

“Bukankah RM155 juta itu lebih wajar digunakan bagi menyediakan eskalator dan lif di stesen KTM Komuter?

“Perhatian juga perlu diberikan kepada meningkatkan mutu pengangkutan awam di luar Lembah Klang yang terabai sejak sekian lama.

“Eskalator atau lif yang rosak boleh diperbaiki segera dengan peruntukan tersebut. Begitu juga stesen yang bocor atau hentian bas usang.

“Baik pulih dan naik taraf fasiliti ini akan memberi impak positif untuk jangka masa panjang berbanding sebulan tambang percuma yang bersifat jangka pendek dan tidak kekal,” kata beliau.

Justeru katanya, kerajaan perlu berhenti dari terus melaksanakan langkah populis sebegini yang bersifat sementara dan tidak memberi impak positif yang kekal.

“Tindakan sebegini hanya mengundangkan keberuntungan yang tidak ada faedahnya, bak kata peribahasa Melayu ayam menang, kampung tergadai,” katanya.