Malaysia Dateline

Kenapa takut sangat dengan bendera putih, teringat kain kapan ke?

1. Tidak disangka Pas boleh begitu takut kepada bendera putih yang berwarna sama dengan kain yang kita akan dikapankan.

2. Dari Menteri Besar Pas Kedah, Mohamad Sanusi, sehingga ahli Parlimen Bachok di Kelantan, Nik Abduh, mereka memandang fenomena bendera putih ini tidak patut dibenarkan dan seolah olah tidak ada manfaatnya walaupun kepada rakyat biasa ia mungkin menentukan antara hidup dan mati.

3. Di Terengganu pula mereka yang menaikkan bendera putih dimarahi serta ada diugut tidak diberi bantuan kerajaan jika berbuat demikian. Ada yang mengakui terpaksa menurunkan bendera dan menghubungi NGO dan pihak lain cara senyap. Untuk mengelak ketidak selesaan dan ‘keselamatan tekanan’ atas penerima, AMANAH mencadangkan gambar pemberian bantuan tidak di ambil atau di sebarkan.

4. Apakah misteri di sebalik takutnya Pas kepada warna suci bersih bendera putih melainkan mereka khuathir kelemahan dan kecatatan pentadbiran mereka akan jelas terpampar di atas kain yang suci kebersihannya.

5. Maklumlah ‘musim darurat’ ini menteri dan timbalan menteri dari Pas sibuk cuba menyelamatkan kedudukan dalam kerajaan dengan mencari alasan agar parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak bersidang ‘secepat mungkin’.

6. Dalam masa darurat ini ada menteri yang belum ‘bertemu makna’ secepat mungkin dalam kamus dan ada pula di lapurkan yang bernasib baik sempat ‘bertemu jodoh’ melalui khidmat pernikahan online negara jiran. Ia adalah atas usaha, minat dan kesungguhan masing-masing.

7. Apa jua pun, nyata menteri menteri dari Pas terlalu sibuk menguruskan hal kedudukan dan keselesaan peribadi diri dari memikirkan ‘survival’ serta keperluan asas rakyat menghadapi Covid 19 dan lockdown.

8. Jika banyak bendera putih naik akan nampaklah kepincangan penjagaan kebajikan rakyat yang telah lama terabai.

9. Baiklah tohmahkan bendera putih sebagai agenda politik pembangkang untuk mengalih pandangan rakyat.

10. Timbalan Ketua Wanita AMANAH Kelantan, Nik Faizah, yang mencetuskan idea bendera putih untuk meminta bantuan makanan dan keperluan mengatakan, jika ianya bermotif politik bendera tersebut telah dicadangkan warna oren, warna parti AMANAH, dan bukan putih.

11. Menyentuh kepada isu motif politik, ramai yang menegur warna tong sampah pihak berkuasa di Terengganu yang bukan hanya berwarna hijau tetapi bersekali dengan bulatan putih kelihatan seperti logo parti Pas.

12. Adakah ini bukan satu motif politik untuk mengingatkan rakyat kepada Pas apabila mereka membuang sampah atau melihat tong sampah Pihak Berkuasa Tempatan?

13 Kebetulan pula baru-baru ini anak Menteri Besar Terengganu memanggil ‘rakyat sampah’ atas sebab beliau marah pada tuntutan rakyat atas ayahnya yang bergelar Menteri Besar. Itulah sedikit kisah rakyat di panggil sampah dan tong sampah kelihatan seperti ada logo Pas di Terengganu yang ada ciri ciri di politikkan.

14. Isu yang paling menarik perhatian adalah apabila seorang Ustaz Pas di Terengganu bertanya soalan ‘bola tanggung’ kepada pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, dalam youtube yang tersebar luas tentang isu bendera putih .

15. Ustaz Azhar dengan jelas menjawab hukumnya harus dan tidak ada salahnya menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan dalam keadaan memerlukan pertolongan. Jawapan tersebut sangat jauh berbeza dari kenyataan pendirian Menteri Besar Kedah dan MP dari Kelantan dan juga Terengganu.

16. Ustaz Azhar yang dulu dianggap Pas salah seorang penyokong kuat mereka, hari ini kelihatan banyak berbeza pendapat dalam beberapa isu penting dengan Pas sejak Pas menjadi Kerajaan.

17. Putrajaya telah mengumumkan Terengganu dan Kelantan akan memasuki fasa 2 Pelan Pemulihan mulai 5 Julai ini.

18. Soalan rakyat di negeri hari ini, dengan 8 negeri negeri lain dan Putrajaya telah akur bersetuju mengadakan sidang Dewan Negeri serta Parlimen seperti titah Majlis Raja Raja, bilakah pula 3 negeri di terajui Pas Terengganu, Kelantan dan Kedah akan taat pada titah Raja Raja Melayu?

19. Bukan sahaja Pas takut berhadapan dengan bendera putih, kerana bermula semalam bendera hitam pula telah mula dikibarkan di seluruh negara untuk membantah pemerintahan kerajaan PN yang makin tergugat. Pas juga kelihatan sangat takut berhadapan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen jika ianya bersidang.

20. Kalau pimpinan Pas telah kelihatan tergugat dengan kibaran bendera putih, kemunculan bendera hitam pula akan mengenakan lebih banyak tekanan dengan Parlimen di desak akan bersidang secepat mungkin.

21. Dilema dihadapi Pas di Terengganu adalah bendera berwarna putih dan hitam tidak boleh, “diharamkan” atau di elak kerana warna putih dan hitam adalah warna bendera Terengganu Darul Iman. Sama juga Dewan Negeri dan Parlimen tidak bolih di elak kerana rakyat ingin mengadili dan menghalusi sejauh manakah Pas dan Kerajaan PN menunaikan tanggung jawap mereka untuk rakyat.

Hukuman seterusnya rakyat akan jatuhkan di Pilihanraya ke 15 . Kerana itulah Pas amat mengeruni kain putih, yang menyerupai kain kapan, di bendera yang di kibar rakyat yang dhaif dan susah hari ini.

——————–

Senator Datuk Raja Bahrin Shah adalah Pengerusi AMANAH Terengganu.