Malaysia Dateline

Kenapa tarik balik saman jadi isu paling panas dibincangkan?

Keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik samannya ke atas Sarawak Report kini menjadi isu yang paling panas dibincangkan.

Dari kedai-kedai kopi sehinggalah ke media sosial, tiada topik utama yang lain dibincang melainkan persoalan kenapa Hadi menarik balik saman itu.

Ini kerana, ketika memfailkan saman itu, Pas menyatakan dakwaan Editor Sarawak Report dalam tulisannya adalah fitnah.

Bagi penulis Izmil Amri, “Kenapa isu tarik balik saman Sarawak Report itu sangat penting? Sebab dakwaan berat SR terhadap Pas ialah parti Haji Hadi itu telah menerima dana dari Umno.”

Katanya, persoalan dana dari Umno ini juga sangat penting, kerana ia menjadi punca bagaimana Pas terbelah dua.

“Maksudnya orang yang menerima duit Umno telah menjalankan tugasnya untuk memecahkan Pas dan mengeluarkan Pas dari gabungan Pakatan Rakyat,” kata Izmil dalam tulisan di facebook beliau.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam tulisannya pada 6 Ogos 2016 mendakwa, pemimpin Pas menerima dana RM90 juga sebagai usaha untuk sokongan parti itu menyokong BN dan Umno yang kini menjadi kenyataan.

“Adakah tarik diri kes saman bermakna Hadi setuju tulisan Sarawak Report bahawa Pas terima duit Umno,” tanya penulis Imlan Adabi dalam tulisannya yang tidak setuju dengan langkah Hadi itu.

Katanya, Pas sebagai parti Islam mustahil terima wang haram 1MDB.

“Ahli bawahan dah lama tadah kopiah kutip derma,” katanya.

September tahun 2018 lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan telah memaklumkan, Pas membayar lebih RM2 juta kepada peguam yang mewakili Presidennya, dalam kes saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown itu.

Takiyudin berkata, yuran guaman sejak 30 November 2016 hingga Jun lalu itu datang daripada sumbangan pelbagai pihak, termasuk ahli parti Islam itu.

“Jumlah dikutip dimasukkan di bawah satu akaun Pas, jumlah telah dibayar kepada peguam adalah £355,550.82 bersamaan RM2,117,870.85 juta.

“Jumlah tuntutan untuk peguam yang belum dibayar £25,000, tuntutannya masih sama,” katanya ketika berucap dalam Muktamar Pas ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak 15 September lalu.

Setiausaha Politik Hadi, Syahir Sulaiman dalam satu kenyataanya semalam berkata, saman terhadap Sarawak Report itu ditarik balik dan diselesaikan di luar mahkamah.

“Setelah Datuk Seri Abdul Hadi Awang meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang telah difailkan oleh beliau terhadap Clare Rewcastle Brown (Defendan) dari semua aspek, dan juga setelah mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam beliau, adalah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah (out of court settlement) melalui Perintah Persetujuan (Consent Order) bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division),” katanya dalam suatu kenyataannya.