Kenapa telaga minyak Bertam diserah kepada Pahang, Adun Batu Burok buat usul

 

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi hari ini memfailkan satu usul ke Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membolehkan isu Telaga Minyak Bertam yang dikatakan berada dalam negeri Terengganu tetapi telah diserahkan kepada negeri Pahang.

Notis usul itu dibuat di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 31(2) peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan negeri Terengganu dengan notis 14 hari.

Usul yang diberi notis ini adalah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Disember 2017.

Usul ini adalah bagi DUN meneliti dan membahaskan semula status Royalti Minyak Terengganu dan Telaga Minyak Bertam P307.

Dalam usul itu, beliau mencadangkan:

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 31(2) peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan memberi notis 14 hari bagi meneliti serta membahaskan kembali perkara-perkara berikut;

1. Status Perjanjian Royalti minyak diantara kerajaan negeri Terengganu dengan PETRONAS dan kerajaan Pusat.

2. Status hak milik keatas penemuan kawasan minyak di Medan Minyak Bertam PM 307.

Menurut notis itu, beliau membangkitkan bahawa
kerajaaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM5.7juta dari pihak Petronas pada tahun 1978 di bawah fasal 2 ‘Perjanjian Royalti’ seperti yang telah di persetujui oleh semua pihak.

Perjanjian ini adalah sebagimana dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petrolium 1974, yang telah di luluskan oleh kerajaan pimpinan yang dikasihi Al-Marhum Tun Abdul Razak bin Husin di Dewan Parlimen pada 15 November 1974.

Al-Marhum menegaskan bahawa;

“Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas atau ejensi-ejensi ataaupun kontraktor-kontraktornya.”

Malangnya, pembayaran Wang Royalti secara tunai kepada kerajaan Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petrolium 1974, telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan ‘Wang Ehsan’ yang dikendalikan terus oleh Kerajaan Pusat.

Lebih malang lagi pihak Petronas juga memaklumkan secara rasmi pada 25 September 2015 bahawa; Pihak Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada negeri Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu.

Ini berdasarkan terma ‘di dalam negeri’ bahawa;

“kerajaan negeri Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil Wang Royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar 3 batu nautika yang di ukur dari garis air surut persisiran pantai negeri”.

Menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak & gas yang terletak diperairan negeri. Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik ‘sah’ kerajaan Terengganu kerana kedudukannya di luar daripada 3 batu nautika.=

“Oleh itu adalah wajar dewan yang mulis ini menuntut penjelasan dari pihak Petronas dan kerajaan Pusat tentang status perjanjian tersebut yang jelas telah tidak ditepati,” katanya dalam usul itu.

Syed Azman juga mengulangi persoalan tentang status Telaga Minyak Bertam PM 307 yang dilapurkan oleh syarikat perunding yang telah dilantik dari Scandanivia, Lundin Petroleum, bahawa ianya terletak didalam kawasan hak tuntutan Terengganu.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Disember 2013, Menteri Besar Terengganu Dato’ Sri Ahmad Said (kini mantan MB) menyatakan bahawa;

“Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu…Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran.”

Katanya, Adun Kijal juga turut mengesahkan bahawa pihak kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga kini belum lagi menerima jawapan.

“Di atas penentuan asal tersebut kenapakah hasil kewangan dari penemuan tersebut diserahkan kepada Negeri Pahang?” soalnya.

Bagi beliau, semua ahli-ahli Dewan ini juga mesti dimaklumkan berapakah jumlah hasil yang telah ‘diserahkan kepada negeri Pahang’ sejak pengeluaran telaga minyak BERTAM PM 307 telah dimulakan?

Yang paling penting adalah penjelasan dari pihak Petronas agar dapat kembali menjernihkan pengumuman awal Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang terlebih dahulu mengistiharkan pada 30 Oktober 2012 lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

“Saya yakin demi kedudukan Petronas sebagai simbol mercu kejayaan negara, serta sanjungan dan penghormatan tinggi rakyat yang diberikan kepada Petronas, ia akan memberi jawapan yang seadil-adilnya di atas persoalan Bertam ini yang menjadi hak dan kedaulatan negeri Terengganu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi memohon Dewan yang mulia ini meneliti dan segera mengadakan sidang khas bagi membahaskan kembali isu hak royalti minyak serta telaga minyak Bertam ini.

“Isu ini adalah persoalan kedaulatan dan maruah negeri yang berdaulat,” tegasnya.

Oleh hal yang demikan beliau memohon seluruh ahli-ahli Dewan yang mulia ini demi mempertahankan kedaulatan dan keyakinan rakyat Terengganu, agar segera mendesak pihak Petronas memberi jawapan segera kepada kerajaan negeri Terengganu bagi menjamin amalan demokrasi dan proses keadilan dalam negara kita yang tercinta ini akan berjalan dengan baik, bersih dan adil.

“Setiap rakyat Terengganu biarpun berbeza pandangan politik dan parti wajib bersatu berdiri teguh bagi mempertahankan hak demi kebaikan negeri Darul Iman ini, negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayung dibawah Tuanku Al-Sultan kita, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud,” katanya.

 

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS