Malaysia Dateline

Kenapa tiada yang berarak apabila ada yang jual negara?

Walaupun sekarang musim Monson Timur Laut, hujan lebat tetap turun di Pantai Barat. Adakah ini di antara tanda-tanda perubahan cuaca yang mula dirasai secara lebih nyata?

Mengikut pelbagai kajian, jika tidak ada langkah-langkah drastik diambil sekarang, suhu bumi akan meningkat melebihi 2.5 darjah celcius menjelang hujung abad ini. Di ketika itu paras laut akan naik dan banyak kawasan darat yang akan berada di bawah paras laut.

Kita semua mungkin sudah tiada, jadi yang menanggungnya adalah cucu cicit kita. Mungkin kelahiran mereka kita sambut dengan penuh kegembiraan dan harapan tetapi di dalam masa yang sama, keghairahan kita merosakkan alam dengan menebang pokok, melepaskan gas rumah hijau dan menukar bentuk muka bumi sesuka hati kita akan menyebabkan cucu cicit kita yang menanggungnya.

Apabila 29 syarikat dibenarkan mengekspot pasir, itulah kegiatan yang benar-benar menjual tanah air. Tak kiralah siapa yang memiliki syarikat-syarikat berkenaan. Ada tak orang nak berarak pasal penjualan negara ini?

Kita masih di peringkat bebahas berkenaan Melayu-Islam, mana ada masa untuk memikirkan masa hadapan cucu cicit kita yang sudah boleh dijangka secara saintifik. Tidak ada diskaun khas Bumiputera di dalam isu perubahan alam. Jika suhunya naik 2.5 darjah, semua akan merasainya secara bersama.

Kalau ada NGO nak desak supaya diadakan diskaun khas Bumiputera bersabitan kenaikan cuaca, cubalah.