Kenapa tiba-tiba SU Sulit Muhyiddin bangkit isu Mageran? Tanya MT Umno

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat di negara ini tidak mahu pentadbiran oleh MAGERAN, tetapi hanya mahukan darurat yang dikuatkuasa ketika ini ditamatkan dan tidak disambung lagi.

Beliau bertanya kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohammad, adakah dia cuba mengalihkan isu kerana secara tiba-tiba membangkitkan soal pentadbiran kerajaan melalui MAGERAN.

Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN adalah badan yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara sepertimana yang dilaksanakan semasa proklamasi darurat tahun 1969.

“Kenapa tiba tiba bangkit isu MAGERAN? Mahu ‘divert’ isu? Menurut Marzuki darurat sekarang lebih baik dari MAGERAN kerana kerajaan hanya laksana darurat kesihatan.

“Kalau darurat kesihatan kenapa gantung Parlimen? Bahkan selepas lima bulan, angka Covid-19 terus meningkat dan tinggi. Jelas, darurat hari ini gagal.

“Dakwa Marzuki lagi, darurat kesihatan hari ini membenarkan mesyuarat Kabinet, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain diadakan.

“Tetapi kenapa gantung Parlimen hingga apa yang kerajaan mesyuarat dan putuskan tidak ada semak dan imbang,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Pada semalam, Marzuki Mohamad berkongsi mengenai beberapa isu berhubung pengurusan darurat di negara ini berikutan sejak kebelakangan ini ada beberapa pihak yang dikatakan mencadangkan agar Yang Di-Pertuan Agong menubuhkan MAGERAN.

Menerusi perkongsian video yang dibuatnya, Marzuki berkata keadaan yang dihadapi hari ini amat jauh berbeza dengan situasi pada tahun 1969 di mana negara tidak berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi darurat kesihatan

Beliau berkata, MAGERAN juga bukanlah satu langkah yang sesuai kerana negara mempunyai Kabinet yang sedang bekerja dan berfungsi.

Bahkan katanya, ia adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, petugas barisan hadapan, pihak industri dan rakyat seluruhnya untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi.