Malaysia Dateline

Kenapa tidak tubuh tabung macam Tabung Harapan?

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak berusaha untuk menubuhkan satu tabung khas sebagaimana Kerajaan Pakatan Harapan yang pernah menubuhkan Tabung Harapan.

Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan Tabung Perikatan sebagai usaha memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19.

Katanya, jika kerajaan menubuhkan Tabung Perikatan seperti Tabung Harapan yang dilakukan Kerajaan Pakatan Harapan dahulu sudah tentu berduyun-duyun syarikat besar dan jutawan akan menyumbang.

“Kenapa tidak tubuh Tabung Perikatan macam Tabung Harapan dulu. Berduyun syarikat besar dan jutawan beri sumbangan,” katanya.

Bahkan katanya, bank-bank yang untung juga boleh menyumbang justeru bukan setakat RM30 juta tetapi ratusan juta boleh dikumpul.

“Bank-bank yang untung pun boleh sumbang. Bukan setakat RM30 juta tetapi ratusan juta akan terkumpul.

Tabung Harapan diwujudkan oleh Pakatan Harapan pada Mei 2018 untuk membolehkan orang ramai menyumbang dalam usaha mengurangkan hutang kerajaan persekutuan, yang mana menteri kewangan Lim Guan Eng ketika itu menyatakan lebih RM1 trilion.

Menurut Puad, dengan meminta sumbangan daripada penjawat awam,  apakah pengorbanan penjawat awam ini akan dikenang balik bila COVID-19 selesai nanti.

Semalam Tan Sri Muhyiddin mengarahkan menteri dan timbalan menteri memotong gaji mereka untuk tempoh tiga bulan bagi disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana menangani pandemik COVID-19.

Hari ini pula Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengarahkan 800,000 penjawat awam memotong elaun tetap mereka selama tiga bulan di mana jumlah itu dianggarkan lebih RM30 juta.

Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19.