Malaysia Dateline

Kenapa YB Pekan tak masuk ke penjara lagi?

Dalam sebarang kes jenayah, lazimnya apabila seseorang itu didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan hukuman, maka hukuman itu – selain hukuman mati ( death penalty) hendaklah dengan serta-merta dilaksanakan (to be duly executed). Itu prinsip asalnya.

Bagaimanapun, sesuatu hukuman itu masih boleh dibenarkan oleh mahkamah – atas budi bicara hakim – untuk digantung pelaksanaannya khususnya jika ada rayuan yang difailkan ke atas keputusan mahkamah tersebut.

Para peguam menamakan proses penggantungan pelaksanaan hukuman itu sebagai “a stay of execution”.

Maaf, saya terangkan sedikit ya rasional dan filsafat penggantungan pelaksanaan hukuman atau stay of execution itu.

Secara umumnya, doktrin itu bagi melindungi seseorang daripada dizalimi. Kenapa?

Prinsip asas undang-undang jenayah adalah seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah (presumption of innocence).

Sekiranya seseorang yang dituduh telah dibicarakan dan kesemua keterangan bagi menyokong pertuduhan jenayah ke atasnya telah pun dibuktikan secara mencukupi iaitu tanpa keraguan munasabah, maka mahkamah akan membuat keputusan bagi mensabitkan orang itu bersalah dan kemudiannya ia akan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang yang beliau didakwa itu.

Jika seseorang itu merayu ke atas hukuman yang diputuskan oleh mahkamah bicara itu (the trial court), seseorang tertuduh yang didapati bersalah itu mempunyai peluang untuk memfailkan rayuan bagi mengenepikan keputusan sabitan (conviction) dan hukuman (sentence) itu .

Dalam konteks kes YB Pekan, oleh sebab perbicaraan dia bermula di Mahkamah Tinggi, maka dia ada peluang dua kali untuk merayu iaitu merayu di Mahkamah Rayuan dan merayu ke Mahkamah Persekutuan (rayuan terakhir ).

Rasional penggantungan hukuman itu khususnya hukuman penjara bagi memastikan sekiranya diandaikan rayuan dia itu katakan berpihak kepadanya maka dia tidak dizalimi walau sehari pun kerana telah menjalani hukuman penjara itu tanpa menikmati faedah penggantungan pelaksanaan hukuman.

Secara umumnya, undang-undang itu sewajarnya cenderung kepada keadilan bukan kezaliman, kesabaran dan bukan kemarahan atau kegopohan!

Dalam undang-undang jenayah, ada pelbagai bentuk hukuman seperti hukuman-hukuman berikut yang agak popular iaitu hukuman penjara, hukuman denda (fine), hukuman sebatan dan hukuman mati.

Hukuman penjara pula ada yang bersifat mandatori dan ada yang tidak bersifat mandatori. Dan ada juga hukuman penjara seumur hidup.

Saya tidak hurai semua itu di sini sebab tulisan ini bukan untuk tujuan itu.

Oleh sebab hukuman ke atas YB Pekan telah pun ditetapkan oleh mahkamah sebagai hukuman denda dan hukuman penjara, maka inshaAllah saya akan lebih fokus kepada kedua-dua hukuman itu sahaja.

Kita tahu YB Pekan telah pun dihukum dengan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan hukuman itu sebulat suara dikekalkan oleh tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.

Tapi YB, kena dia masih tidak disumbat ke dalam penjara? Itu keluhan yang sentiasa diadukan kepada saya.

Maaf, insyaAllah saya akan sambung ulasan saya itu dalam siri berikutnya.